Sabtu, 23 April 2011

Prasarana nafi dakwaan Perkasa halang Bumi sertai MRT


KUALA LUMPUR – Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) menolak sama sekali dakwaan Perkasa bahawa MMC-Gamuda Joint Venture Sdn Bhd menafikan peluang bagi kontraktor Bumiputera menyertai kerja-kerja membina MRT Lembah Klang - projek infrastruktur terbesar nilai pelaburannya.

Sehubungan itu SPNB menegaskan, kenyataan Pengarah Ekonomi Perkasa Dr Zubir Harun kelmarin adalah serius dan “menyediakan kes yang berpotensi untuk salah tafsir”.

Dalam satu kenyataan penjelasan, Pengarah Urusan SPNB Shahril Mokhtar berkata, pihaknya dan kesemua agensi terlibat dalam projek MRT Lembah Klang berkomited untuk memastikan ia dikendalikan dengan telus.

“Kami meletakkan penekanan mendalam bagi memastikan kesemua garis panduan kawal selia berkenaan projek ini termasuk penganugerahan kontrak dipatuhi dengan teliti dan dilaksanakan,” kata beliau mengulas pendirian Perkasa dan beberapa NGO lain.

Perkasa mendakwa ada usaha ‘jahat’ di pihak MMC-Gamuda Joint Venture menafikan peluang bagi kontraktor-kontraktor Bumiputera menyertai projek MRT Lembah Klang ini yang dianggarkan menelan kos lebih RM50 bilion. Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula Julai ini.

Perkasa bersama beberapa NGO yang mewakili usahawan Bumiputera mendakwa rakan penyedia projek (PDP) bagi MRT ini mengenakan syarat-syarat “ketat” yang menghalang penyertaan Bumiputera dan hanya memanfaatkan “bukan Bumiputera yang kaya.”

“Perkasa bersama dengan NGO-NGO Bumiputera merasakan seolah-olah syarat-syarat ketat sengaja dikenakan oleh MMC-Gamuda... adakah Prasarana juga memainkan peranan dalam projek ini?

“Apakah peranan Prasarana? Apa yang kami dapat lihat sekarang ialah pakej bagi pembinaan MRT dimonopoli oleh MMC-Gamuda dan kontraktor-kontraktor Bumiputera tiada peluang langsung untuk mengambil bahagian,” kata Zubir.

SPNB, anak syarikat kerajaan dilantik sebagai pemilik infrastruktur itu manakala Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat adalah pihak berkuasa kawal selia projek itu.

Zubir berkata, pada 30 Mac lalu Prasarana telah mengeluarkan kriteria tambahan bagi pembinaan projek itu, sekali gus menyebabkan kekecewaan di kalangan ramai kontraktor Bumiputera.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, saiz dan kerumitan projek MRT ini turut membawa bersama risiko signifikan kelewatan dan peningkatan kos.

“Oleh itu, adalah penting kontraktor-kontraktor yang dipilih mesti mempamerkan kepakaran dan kekuatan kewangan untuk mengendalikan projek yang besar ini,” kata beliau lagi.

Justeru jelas beliau, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan telah menetapkan garis panduan ketat bagi proses pemerolehan kontrak yang termasuk kriteria prakelayakan dan pemilihan kontraktor bagi kerja-kerja berpakej.

Malah menurutnya, langkah itu akan memastikan aspek ketulenan, kompetensi dan kesesuaian kontraktor layak, yang akan membolehkan projek disiapkan mengikut masa yang ditetapkan.

SPNB juga percaya pasaran tempatan mempunyai kontraktor Bumiputera dan Bukan Bumiputera yang tulen, berdaya saing dan sesuai, kata Shahril sambil menambah, “kriteria prakelayakan tidaklah terlalu ketat dan membolehkan ramai kontraktor yang berpengalaman layak tanpa mengambil bahagian dalam usaha sama dengan yang lain.”

“Sebenarnya, kami juga ada menjemput kontraktor-kontraktor Bumiputera menyertai tender ini,” kata beliau.

“Prasarana juga mahu menjelaskan kenyataan Dr Zubir bahawa kontraktor Bumiputera tidak boleh meletakkan (bon) RM300,000, yang diperlukan adalah tidak benar,” katanya.

Ketua SPNB itu menambah, ada kontraktor Bumiputera yang boleh mengumpulkan dana dalam jumlah itu adalah penting, memandangkan kerja-kerja dalam pakej besar memerlukan grup yang mempunyai kedudukan kewangan baik.

“Prasarana juga sedar ada kontraktor Bumiputera yang tidak boleh memenuhi kriteria bagi pakej kerja-kerja utama tetapi layak menyertai kerja-kerja subkontrak.

“Oleh itu kontraktor-kontraktor kecil ada peluang dan peranan untuk dimainkan dalam projek MRT Lembah Klang mengikut kemahiran dan pengalaman mereka. Mereka tidak akan ketinggalan daripada mengambil bahagian dalam projek ini,” kata Shahril lagi.

Dalam kenyataannya kelmarin, Zubir mendakwa kriteria seperti kontrakor yang menyertai tender projek dilarang membentuk usaha sama ataupun konsortium, syarikat kontraktor dilarang membentuk sebarang usaha sama dengan syarikat-syarikat asing dalam tender projek dan pembentukan konsortium dua atau lebih syarikat dilarang sama sekali menutup peluang-peluang bagi syarikat Bumiputera untuk menyertai tender projek.

“Prasarana juga memasukkan syarat bayaran bon berjumlah RM300,000 di peringkat prakelayakan... bagaimana kontraktor Bumiputera boleh datang dengan jumlah ini tanpa membentuk konsortium atau usaha sama?” kata Zubir.

“MMC-Gamuda sendiri (syarikat) usaha sama... kebanyakannya projek kerajaan berskala besar, mengapa tidak yang ini?” tambah beliau.

Justeru kata beliau, syarat-syarat ini bercanggah dengan Model Baru Ekonomi (MBE) Datuk Seri Najib Razak dan menggesa perdana menteri sendiri selaku menteri kewangan menarik balik syarat-syarat ini serta-merta.

“Kami memberi Prasarana, kerajaan tujuh hari untuk menjawab tuntutan kami... Najib mendengar Perkasa, beliau faham kebimbangan kami.

“Jika kami tidak melihat sebarang tindakan, kami melihat ia bertentangan dengan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, hak-hak Bumiputera,” katanya lagi.

Tiada ulasan: