Tragedi kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Penolong Pengarah Pejabat Kastam Pelabuhan Klang telah mengejutkan kita semua. Beliau ditemui meninggal dunia di Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane pada 6 April yang lalu.
Terlalu banyak persoalan yang masih tidak terjawab tentang kematian Allahyarham Sarbani yang berlaku ketika Suruhanjaya Siasatan DiRaja tentang kematian Teoh Beng Hock sewaktu siasatan SPRM. Kebetulan pula Allahyarham tinggal di kuarters Kastam yang terletak di kawasan DUN saya, Seri Setia.
Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam.
Suruhanjaya Siasatan DiRaja mesti ditubuhkan untuk mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan serta-merta dengan melibatkan masyarakat sivil serta menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini.
Kenyataan Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) bahawa Allahyarham Sarbani datang ke SPRM secara sukarela tidak masuk akal memandangkan beliau telah ditahan dalam Ops 3B pada 1 April dan dibebaskan atas ikatjamin pada 2 April yang lalu. Mengapa beliau hendak ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?
Kenyataan Najib dan Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan rasuah juga amatlah menyedihkan memandangkan ketegasan yang sama tidak pernah kelihatan dalam melawan rasuah melibatkan pimpinan politik Barisan Nasional. Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri.
Sudah tersebar SMS kononnya meskipun kematian Allahyarham Sarbani dikesali namun ketegasan kerajaan menentang rasuah harus mendapat sokongan rakyat. Siapa yang bertanggungjawab menghantar SMS begini ketika Allahyarham Sarbani baru sahaja dikebumikan?
Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Dato T. Malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran.
Pada masa yang sama, kami berharap pihak CUEPACS dapat memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat oleh SPRM dan seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.
Kami juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang baru ditubuhkan dapat memulakan siasatan ini untuk memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan selepas rentetan satu demi satu kes malang.
*Kenyataan media oleh Nik Nazmi Nik Ahmad (gambar kiri) selaku Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat merangkap ADUN Seri Setia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan