Selasa, 26 April 2011

PKR Bawa Beban 24 Kerusi Ke Mesyuarat Pakatan

Ditulis oleh Ayie


PETALING JAYA : Bebanan yang digalas Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertanding di 49 kerusi termasuk di kerusi yang sukar untuk dimenangi akan dibawa ke mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, perkara ini perlu dibincangkan di peringkat Pimpinan Pakatan Rakyat.

“Walaupun saya junior, saya rasa seseorang perlu membawa isu ini. Perkara ini akan dibawa ke Mesyuarat Pakatan Rakyat esok,” katanya.

Pada pilihan raya itu, PKR yang sepatutnya bertanding di 25 DUN sahaja tetapi akhirnya terpaksa bertanding di 24 kerusi tambahan bagi mengelakkan BN menang percuma pada hari penamaan calon.

"Kalau kita bertegas bertanding 25 kerusi sahaja, BN memang 24 tanpa bertanding pada hari penamaan. Mereka hanya perlu 12 lagi untuk membentuk kerajaan. Jadi, semua slogan ubah yang kita laungkan tidak akan berguna lagi," katanya.

Pada pilihan raya negeri lalu, Pakatan menang di 15 kerusi. PKR mendapat tiga daripada 49 kerusi manakala DAP pula berjaya di 12 daripada 15 kerusi yang ditandingi.

PAS gagal di semua lima kerusi yang ditandinginya. Kesemua 71 kerusi dipertandingkan.

Menurutnya lagi, dengan menang hanya di tiga daripada 49 kerusi yang ditandingi, ia memberi konotasi seolah-oleh parti tunjang dalam Pakatan itu lemah.

"Walaupun keputusan itu memberi perspektif yang berbeza. Kalau Keadilan bertanding 25 kerusi misalnya, dan kita menumpukan kepada kerusi ini sahaja dan kita menang lima atau enam kerusi sudah tentu peratusan dan persepsi berbeza. Apabila dilihat tiga daripada 49 ia menimbulkan konotasi yang berlainan,” katanya. ni berbeza kalau kita menang tiga daripada 25 (kerusi)," katanya lagi.

Sementara itu, menyentuh soal cadangan penggabungan DAP dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Rafizi berpendapat, berdasarkan realiti, ia tidak memberikan jalan pintas kepada DAP untuk meluaskan sayap kepada masyarakat Iban.

“Saya mengalukan kehadiran mereka. Kita tidak mengahadapi masalah sekiranya Pas ingin membuka cawangan di kawasan Bidayuh. Kita kena melihat kesepakatan dan faedah secara keseluruhan kepada Pakatan,” katanya.

“Kita tidak dapat menerima dan memaafkan pengkhianatan yang SNAP telah buat kepada Pakatan Rakyat walaupun kerusi-kerusi tiga penjuru hanyalah terpaksa dihadapi oleh PKR,” katanya.

Ujar beliau, sampai sekarang pihaknya masih belum mendapat penjelasan, antaranya berhubung dakwaan bahawa parti tertua Dayak di Sarawak itu mendapat tajaan daripada BN.

Kegagalan rundingan PKR dan SNAP sebelum ini menyebabkan Pakatan gagal bertembung satu lawan satu dengan BN.

Tiada ulasan: