Jumaat, 22 April 2011

PIBG: 'Pergaduhan perkauman' hanya dakwaan


Salhan K Ahmad

Pengerusi persatuan ibu bapa dan guru SMK Taman Sri Muda, Shah Alam, Anita Atan hari ini menafikan unsur perkauman menjadi punca kepada satu pergaduhan yang berlaku di sekolah berkenaan .

Sebaliknya, kata beliau, ia hanyalah satu dakwaan yang dibuat oleh bapa salah seorang pelajar terbabit.

Ketika ditanya, Anita juga berkata, pergaduhan itu juga bukan dicetuskan oleh perbuatan kata-mengata antara pelajar berkenaan.

"Bukan sebab itu, tapi punca lain... Kita tunggu hingga laporan polis selesai. Saya tak boleh nak komen apa-apa, tapi kita sudah dengar banyak sangat cerita.

"Itu dakwaan bapa tersebut, itu hak dia untuk bercakap. Dia boleh kata (pergaduhan tersebut) ada unsur seperti yang awak katakan.

"Orang yang bercakap itulah yang kata. Kalau tidak, tak ada apa-apa (dakwaan timbul). Dia dapat dari mana? Dialah yang kata (unsur perkauman) sedangkan siasatan belum habis lagi," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang bapa pelajar terbabit, Stephen Perumal Velu dalam satu laporan laman Free Malaysia Today yang menyebut, pergaduhan itu berpunca daripada tindakan sekumpulan pelajar yang memanggil pelajar India di sekolah itu dengan kata-kata yang didakwa menghina.

Menurut Anita lagi, bapa kepada pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan beliau menyerahkan isu itu untuk siasatan pihak berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Anita juga berkata polis hari ini turut mengambil keterangan daripada 13 orang pelajar yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan berkenaan.

Semalam, polis mengambil keterangan daripada 23 pelajar lain.

Dalam pada itu, Anita turut mengesahkan bahawa salah seorang daripada pelajar terbabit mengalami kecederaan akibat pergaduhan tersebut.

Pelajar terbabit telahpun mendapatkan rawatan dan pihak sekolah telah mendapatkan laporan perubatannya, tambahnya.

Tiada ulasan: