Selasa, 26 April 2011

Peralihan Undi PKR Libat Semua Kaum Di Sarawak

TVS NEWS


PETALING JAYA : Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengumumkan peralihan undi kepada Pakatan Rakyat semasa Pilihanraya Negeri Sawarak tidak tertumpu kepada satu kaum sebaliknya melibatkan semua kaum.

Berdasarkan 24 kerusi yang ditandingi PKR, peralihan undi dari Barisan Nasional kepada PKR menunjukkan peralihan positif terutama di kawasan yang terdiri daripada pelbagai suku kaum.

Menurut Rafizi, Meluan yang ditandingi PKR menunjukkan pertambahan peralihan pengundi sebanyak 31 peratus turut disokong oleh peratusan keluar mengundi berbanding pilihan raya lalu.

“Peralihan undi tertinggi yang diperolehi oleh Pakatan Rakyat sebenarnya di kerusi yang ditandingi PKR iaitu Meluan. Meluan adalah kerusi yang majoritinya terdiri daripada Kaum Iban. Yang telah menyaksikan peralihan sebanyak 31 peratus. Ini peralihan tertinggi bagi mana-mana kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini,” katanya.

Rafizi berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, situasi ini unik memandangkan ia melibatkan majoriti Kaum Iban dan terletak di kawasan luar bandar.

“Berdasarkan Meluan ini menunjukkan masyarakat luar bandar, majoriti Iban mempunyai keupayaan dan keinginan untuk menyuarakan bantahan mereka kepada kerajaan BN di peti undi,” katanya.

Selain Meluan, antara kerusi yang menunjukkan peningkatan peralihan undi PKR adalah kerusi yang terdiri daripada pelbagai kaum seperti Kakus (25.9%), Senadin (24.6%) dan Krian (24.05) tanpa mengira kedudukan geografi.

“Kalau ada cubaan pihak lawan yang cuba menggambarkan ini undi protes untuk suatu kaum adalah tidak benar berdasarkan analisa peralihan yang dibuat,” katanya.

Sementara itu, menyentuh soal sokongan kepada Pakatan berdasarkan kaum, Rafizi memberitahu, masyarakat Iban menunjukkan pola sokongan yang berbeza apabila terdapat julat sokongan yang besar antara satu-satu DUN.

Menurut statistik, Kaum Iban memberikan sokongan kepada PKR antara 3 hingga 60 peratus di pelbagai kawasan dan secara keseluruhannya berada pada paras 32 peratus.

“Julat yang menunjukkan bahawa sesuatu kaum itu tidak mengundi semata-mata berasaskan kaum. Kalau Iban ada faktor-faktor lain yang lebih dominan seperti jentera dan Isu. Secara keseluruhan purata 32 peratus. Ini adalah perkembangan yang baik kerana dengan jentera dan kerja yang baik di bawah, ada potesi untuk PKR dan Pakatan Rakyat meningkatkan lagi sokongan masyarakat Iban,” katanya.

Sementara bagi pola pengundi mengikut pecahan pula menyaksikan masyarakat Melayu/Melanau dengan julat sokongan dari 6 hingga 35 peratus (purata 19%), Cina 50-80 peratus (purata 65%), Bidayuh 20- 30 Peratus (Purata 26%) dan orang Ulu 22 hingga 56 peratus

Tiada ulasan: