Selasa, 26 April 2011

Pemuda Masjid desak haram terbit filem seram

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) meminta pihak berkuasa supaya mengharam dan menghentikan kebenaran bagi penyiaran filem seram dan hantu yang kini kerap diterbitkan syarikat produksi filem tempatan.

Ketua Umumnya Dr Mohammad Nawar Ariffin berkata kebanjiran filem seram dilihat menjadi-menjadi ketika ini dengan jumlahnya mengatasi jumlah filem yang diterbitkan ketika era kegemilangan filem Melayu pada 1960-an.

Menurut beliau, Pemuda Masjid bimbang fenomena penerbitan filem jenis itu hanya akan memundurkan orang Melayu yang merupakan 95 peratus daripada penggemar dan penonton filem sedemikian.

“Adalah malang filem dan drama seram serta hantu ini dijadikan sogokan kepada penggemar filem dan drama Melayu kerana ia tidak langsung boleh membantu dalam membangun jiwa dan intelek masyarakat kita.

“Orang Melayu beragama Islam kini terancam akidah mereka akibat menonton aksi tahyul dan syirik yang sering dipaparkan sehingga semakin ramai terjebak dengan aktiviti kurafat dan mungkar,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama Online.

Dr Mohammad Nawar berkata aktiviti kurafat dan tahyul itu juga dilihat berkembang ke arah negatif apabila semakin banyak kes penipuan oleh bomoh, diperkosa dan dicabul oleh pengamal perubatan tradisional dilaporkan.

“Oleh itu, penerbitan filem-filem jenis ini hendaklah dihentikan atau penyiaran dan penayangannya diperketatkan kerana ia mempunyai kesan dalam mempengaruhi jiwa dan pemikiran masyarakat.

“Kerajaan perlu segera menghentikan eksploitasi penerbit filem dan drama menggunakan filem seram dan hantu untuk mengaut keuntungan tanpa mengambil kira risiko dan kerosakan terhadap anak bangsa,” katanya.

Beberapa tahun kebelakangan ini penerbit filem tempatan kerap mengeluarkan filem seram untuk tontonan penggemar filem sehingga ia membibitkan kebimbangan masyarakat akan kesannya kepada pemikiran dan agama.

Filem seram yang kini ditayangkan di pawagam antaranya Senjakala terbitan Excellence Pictures Sdn Bhd arahan Ahmad Idham dan Penunggu Istana arahan Wan Hasliza terbitan Alternate Studios.

Tiada ulasan: