Rabu, 20 April 2011

Pelajar dipukul: Sekolah didakwa tak ambil peduli


Salhan K Ahmad

Seorang ibu hari ini mendakwa pihak sekolah tidak mengambil tindakan ke atas aduan berhubung insiden anaknya dipukul oleh sekumpulan rakan sekolah.

Kia Ooi Meng mendakwa, beliau telah mengadu kepada pengetua Sekolah Menengah Sri Muda, Shah Alam, berhubung kejadian yang berlaku pada Rabu lalu.

"(Pengetua berkenaan) beritahu saya, memandangkan saya sudah buat laporan polis, saya perlu rujuk kepada polis.

"Dia sepatutnya prihatin kerana kejadian itu berlaku dalam sekolah dia, sehingga hari ini pun dia tidak mahu ambil tahu berkenaan anak saya.

"Sekarang anak saya takut hendak ke sekolah, tapi dia terpaksa pergi juga sebab tahun ini dia perlu mengambil peperiksaan PMR," kata Kia ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Kia mendakwa, anaknya itu dipukul oleh sekurang-kurangnya lapan orang pelajar di satu ruang di dalam sekolah berkenaan dalam kejadian berkenaan.

Katanya lagi, anak lelakinya itu mengalami kecederaan di bahagian kepala serta lebam di bahagian anggota badannya akibat dipukul dengan kerusi.

"Kelas dia tak cukup kerusi, jadi (anak saya) masuk ke satu kelas untuk ambil kerusi. Tetapi (sekumpulan) pelajar lelaki dalam kelas itu berkenaan tidak suka (anak saya) ambil kerusi dan memukul (anak saya)," katanya.

Kia berkata, beliau telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari yang sama.


Beliau turut mendakwa, insiden berkenaan bukanlah kali pertama berlaku di sekolah tersebut.

"Sudah banyak kes pergaduhan berlaku sebelum ini," katanya lagi.


Malaysiakini cuba menghubungi pengetua sekolah berkenaan beberapa kali untuk mendapatkan reaksi tetapi hanya mendapat jawapan "pengetua sibuk."

Tiada ulasan: