Ahad, 24 April 2011

Pelaburan CIMB dalam Tricubes melalui Dana Ekuiti Swasta

BERNAMA

Pelaburan CIMB dalam Tricubes Bhd dibuat bagi pihak pelanggan melalui dana ekuiti swasta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Nazir Razak, hari ini. Menegaskan bahawa CIMB tidak memiliki syarikat itu, beliau berkata pelaburan itu memang sudah wujud pada 2001 dengan kepentingan sebanyak 15%.

"Kami tidak terlibat dengan pengurusannya. Kami tidak mempunyai wakil dalam lembaga pengarahnya... ia adalah kepentingan pasif sepenuhnya. Sebarang kenyataan yang membayangkan kami sedikit sebanyak terlibat dalam perniagaan itu berniat jahat," kata Nazir (gambar kanan) kepada pemberita ketika mengulas laporan yang mengatakan CIMB mempunyai pelaburan dalam Tricubes.

Baru-baru ini Tricubes, sebuah syarikat penyedia IT, mendapat Projek Emel 1Malaysia. Beliau menjelaskan beliau hanya mengetahui tentang pelaburan itu setelah seseorang menunjukkan kepadanya sebuah blog yang melaporkan perkara itu.

Dalam satu pekembangan lain, beliau berkata CIMB Group sedang mencari peluang untuk memasuki Laos dan Filipina pada masa akan datang.

Bagaimanapun, katanya, CIMB tidak tergesa-gesa untuk memasuki kedua-dua pasaran itu kerana kumpulan itu bertapak kukuh di negara-negara Asean yang Lain.

Tiada ulasan: