Selasa, 19 April 2011

Pakar: Reformasi pasaran, ekonomi perlu baiki kuasa beli rakyat


KUALA LUMPUR — Kuasa membeli di kalangan rakyat negara ini boleh dipertingkatkan dengan pihak berkuasa mengadakan reformasi pasaran agar ia menjadi lebih berdaya saing dan bebas daripada monopoli dan pasaran yang bersifat ‘herot-benyot’, kata pakar-pakar ekonomi.

Laporan Harga dan Upah 2010 oleh bank UBS AG menunjukkan warga Kuala Lumpur hanya memiliki kuasa membeli 33.8 peratus berbanding mereka yang tinggal di New York, 42 peratus jika dibandingkan dengan mereka yang berada di London, 33.7 peratus (Sydney), 32.6 peratus (Los Angeles) dan 31.6 peratus (Zurich).

Sehubungan itu, Suhaimi Ilias dari Maybank Investment Bank berkata, kurang daya saingan di Malaysia menyebabkan rendahnya tekanan terhadap kadar harga.

“Soal ketidakcekapan dalam ekonomi kita masih tinggi,” kata beliau.

Dr Yeah Kim Leng dari RAM pula berkata, pasaran Malaysia memerlukan saingan yang lebih sihat dan kurang cenderung ke arah bermonopoli.

“Kami mendapati industri-industri Malaysia sangat bertumpu pada beberapa peserta (industri sahaja),” kata beliau sambil menambah, paras harga pula adakalanya tidak anjal dan tidak bersifat responsif kepada paras pendapatan.

Bagaimanapun kedua-dua mereka bersetuju bahawa soal ‘mengganggu’ pasaran yang menjadi ciri utama dalam ekonomi Malaysia perlu ditangani demi menjadikan harga dan pasaran menjadi lebih berikat.

Menurut Yeah, salah satu sektor yang sangat ‘diganggu’ ialah industri kenderaan di mana rakyat Malaysia perlu memikul paras harga kereta paling mahal di dunia, menyebabkan 20 peratus daripada RM581 bilion hutang isi rumah negara tertumpu dalam soal pembelian kereta, yang nilai asetnya merosot dari semasa ke semasa.

Suhaimi berkata, harga yang rakyat Malaysia bayar sekarang nampaknya tidak masuk akal.

“(Misalnya) saya tidak faham mengapa sebuah motosikal seharusnya menelan kos RM6,000-7,000 dan kereta seperti Perodua Viva perlu lebih RM30,000,” kata beliau.

Justeru kata Yeah, dasar automotif kebangsaan perlu disusun semula dan mengurangkan halangan tarif kerana ia baik untuk kedua-dua ekonomi dan industri kereta.

“Itu sebabnya kita boleh menarik lebih ramai peserta dan menyusun semula industri kereta supaya ia bersifat serantau,” katanya.

Suhaimi juga khuatir harga sesetengah barang secara sengaja ditekan dan kejutan harga boleh wujud jika subsidi dikaji balik kelak.

“Bagi industri-industri yang bergantung sangat pada subsidi, daya saing adalah jawapan,” kata beliau.

Malah menurut beliau, kebergantungan negara ke atas pekerja-pekerja asing juga menjejaskan upah pekerja tempatan.

Oleh itu kata Yeah, kerajaan tidak sewajarnya membenarkan upah ‘sengaja’ ditekan.

“Tidak perlu ada kemasukan tenaga kerja (asing) murahan,” kata beliau.

Tambah beliau, tindakan menurunkan nilai ringgit, yang pernah diamalkan masa-masa lalu untuk menjadikan eksport Malaysia lebih berdaya saing, merupakan satu lagi tindakan ‘memuta belit’ pasaran, yang menjejaskan kuasa beli khususnya ke atas barangan diimport.

Mulai 1 April lalu, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010, undang-undang baru yang memberi kuasa untuk mengheret peniaga-peniaga yang menaikkan harga barangan atau makanan secara sembarangan dan melampau, dikuatkuasakan dan akta daya saing akan dilaksanakan tahun depan bagi mengelak sikap antidaya saing. Kerajaan juga dijangka memperkenalkan elaun bagi syarikat yang memohon pengecualian.

Dr Foong Kee Kuan, penyelidik kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengulangi bahawa daya saing yang lebih tinggi diperlukan untuk meningkatkan kuasa membeli.

“Kerajaan perlu menuju ke arah itu dan menjadikan industri kita lebih bersifat daya saing,” katanya lagi.

Tiada ulasan: