Khamis, 21 April 2011

OKU Kadir Hashim ditahan ISA dibebas hari ini

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) kurang upaya, Kadir Hashim yang ditahan 1 April lalu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dibebaskan hari ini.

Dia dibebaskan di rumahnya di Kampung Kerinchi di sini, sekitar 3 petang ini.

“Saya boleh mengesahkan yang Kadir sudah dibebaskan hari ini. Tiada syarat dikenakan, dia dibebaskan di rumahnya,” kata Naib Presiden PKR N Surendran ketika dihubungi.

Perkara itu turut disahkan oleh Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA Syed Ibrahim Syed Noh.

“Dia dibebaskan sekitar 3 petang tadi,” katanya.

Kadir ditahan polis mengikut Seksyen 73(1) ISA dalam satu serbuan melibatkan 20 anggota polis berpakaian preman di rumahnya.

Laporan media sebelum ini menyebut Kadir dikaitkan dengan militan di Kemboja.

Surendran, yang juga seorang peguam berkata, beliau mengecam tindakan pihak berkuasa menahan Kadir di bawah ISA, yang sebenarnya tidak perlu dan hanya mencetuskan trauma ke atasnya.

“Polis dan Kementerian Dalam Negeri perlu memberi penjelasan kepada Kadir dan keluarganya. ISA mesti dimansuhkan,” kata Surendran.

Tiada ulasan: