Khamis, 21 April 2011

NUJ : Utusan Mesti Fikirkan Kesan Negatif Laporannya Kepada Rakyat

TVS NEWS


SHAH ALAM : Cadangan Utusan Malaysia supaya Umno melancarkan gerakan 1Melayu 1Bumi dikhuatiri akan membawa kesan negatif terhadap akhbar itu sendiri pada pandangan masyarakat di negara ini.

Malah kenyataan itu juga mungkin memberi kesan kepada pengedaran dan penjualannya apabila rakyat menolak akhbar yang sering bermain dengan sentimen perkauman.

Setiausaha Agung Kesatuan Wartawan Nasional (NUJ), V Anbalagan ketika dihubungi TV Selangor hari ini melahirkan kebimbangannya mengenai perkembangan itu yang pada hematnya, bakal menjejaskan pendapatan kaki tangan Utusan sendiri apabila jualan akhbar berkenaan terus merudum kelak.

“Kalau berterusan boleh memungkinkan penjualan surat khabar itu akan turun dan saya bimbang kalau ini berlaku mungkin syarikat tidak mendapat keuntungan.

“Akhirnya yang rugi pekerja-pekerjalah kerana Utusan banyak mengeluarkan berita-berita seperti ini bukan? Ia membakar sentimen kaum bukan?,” soalnya.

Menurut Anbalagan, pihak pengurusan Utusan Malaysia seharusnya memahami akhbar tersebut bukan sekadar dibaca oleh orang Melayu tetapi ia dibaca seluruh rakyat Malaysia pelbagai bangsa.

“Utusan mesti faham surat khabar Bahasa Malaysia bukan dibaca oleh orang Melayu sahaja. Ia dibaca oleh semua orang, semua kaum kerana Bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu maksudnya milik rakyat Malaysia,” jelas Anbalagan.

“Kenyataan seperti ini tidak memberi sebarang faedah lah dan saya bimbanglah sebab orang mungkin boikot atau tidak mahu membaca surat khabar ini. Saya juga bimbang sebab ramai ahli-ahli NUJ yang bekerja di sana,” katanya.

Tambah Anbalagan, sepatutnya akhbar memainkan peranan membawa perpaduan tetapi malangnya Utusan Malaysia berperanan sebaliknya.

Tiada ulasan: