Rabu, 6 April 2011

‘Musuh dalam selimut’ bermaharaja lela di Yayasan Selangor

Adakah Pengurus Besar Ilham Marzuki mempunyai kepentingan peribadi dalam sambutan ulang tahun ke 40 Yayasan Selangor?



PETALING JAYA: Adakah Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki menyalahguna kuasa dan mempunyai kepentingan peribadi sejak penghujung tahun 2010?

Pada 11 November 2010, Ilham telah mengarahkan semua asrama dan sekolah di bawah tajaan Yayasan Selangor untuk mengadakan solat hajat agar bala diturunkan ke atas orang yang menulis surat layang terhadap ‘ketua isteri Ilham’.

Namun satu sumber yang boleh dipercayai berkata, “kita diberi arahan untuk mengadakan solat hajat agar kakitangan yang membocorkan maklumat berkaitan Yayasan Selangor diturunkan bala dan diazab.”

Menurut sumber, maklumat yang bocor adalah berkaitan dengan kos perbelanjaan yang berlebihan berhubung sambutan ulangtahun ke -40 Yayasan Selangor.

Maklumat tersebut sampai kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyebabkan baginda murka dan enggan menghadirkan diri ke majlis jamuan makan Yayasan itu.

Ekoran itu, Ilham dikatakan menuduh mantan pengurus kewangan Yayasan Izana Ahmad dan bekas pengurus sumber manusia Anizan Ibrahim sebagai individu yang membocorkan maklumat kos perbelanjaan sambutan ulangtahun.

Rentetan pembocoran maklumat tersebut, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan penyiasatan dan mengambil dokumen berkaitan kos sambutan pada 15 November 2010.

Pada 16 November 2010, enam kakitangan Yayasan telah dipanggil untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Keesokan harinya, kesemua mereka menerima surat pertukaran (pindah kerja) dalam tempoh 24 jam tanpa sebab, kata sumber yang enggan mendedahkan namanya.

Penyiasatan SPRM seterusnya bertumpu kepada timbalan pengurus besar (pengurusan) Yayasan Selangor pada ketika itu, Saifulruddin Sulaiman dimana beliau telah ditahan reman pada 23 November 2010 dan disiasat selama 7 hari.

Ekoran tahanan reman tersebut, seramai seratus kakitangan Yayasan Selangor telah dihukum menggunakan Kursus Kepimpinan dan Semangat Sepasukan (KDSS) di Kem Bina Semangat, Ampang Pechah, Kuala Kubu Bharu pada 3, 4 dan 5 Disember 2010 sebagai alasan.

Kakitangan Yayasan diarah melakukan “night trackking” dan bermalam “beratapkan langit” di dalam hutan berdekatan, mulai tengah malam sehingga subuh selama dua malam berturut-turut.

Dalam perkembangan berkaitan, Saifulruddin didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Beliau bagaimanapun, mengaku tidak bersalah terhadap tiga tuduhan rasuah membabitkan wang sebanyak RM45,000.

Pendakwaan dilakukan oleh timbalan pendakwa raya Kevin Morais bagi pihak SPRM di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM.

Jika didapati bersalah, Saifulruddin boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun penjara dan denda lima kali nilai wang suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang mempunyai nilai lebih tinggi.

Tiada ulasan: