Rabu, 27 April 2011

Muhyiddin dakwa Guan Eng tak berpijak bumi nyata

THE MALAYSIAN INSIDER



IPOH — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menggambarkan seolah-olah Malaysia mengamalkan idea Hitler dalam pentadbiran negara merupakan kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata dan bermuslihatkan politik.

Beliau (gambar) berkata dasar pentadbiran negara oleh Barisan Nasional (BN) adalah mengamalkan sistem demokrasi, properniagaan yang berkaitan dengan pengembangan modal di samping berdasarkan situasi serta keadaan yang wujud dalam negara.

“Kerajaan tidak amalkan kuku besi atau bersikap diktator, kita mengamalkan sistem demokratik, sebab itu dasar dan pelaksanaan pembangunan adalah berdasarkan prinsip negara kita di mana ia mengandungi pelbagai kaum, keturunan dan latar belakang,” katanya kepada pemberita selepas menutup Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 di Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman blog Minda Intelek Melayu (M.i.M) terhadap Lim yang didakwa menggambarkan seolah-olah negara ini mengamalkan idea Hitler iaitu seseorang itu lebih unggul daripada yang lain kerana warna kulit.

Menurut blog M.i.M, idea itu didakwa dilontarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perutusannya sempena sambutan Hari Easter 2011 seperti yang disiarkan menerusi laman blognya kelmarin.

Muhyiddin berkata contoh klasik kejayaan daripada dasar dan sikap berpandangan jauh kerajaan adalah pembangunan Pulau Pinang yang kini menjadi kota metropolitan hasil daripada sokongan dan bantuan kerajaan pusat dan kerajaan negeri di bawah pentadbiran BN sebelum ini.

“Apakah itu dasar Hitler. Bukan sahaja di Pulau Pinang malah pembangunan di tempat-tempat lain juga. Saya tidak fikir itu satu kenyataan yang adil,” katanya dipetik Bernama Online.

Tiada ulasan: