Selasa, 19 April 2011

Media Alternatif Bukan Faktor Dominan BN Sukar Menang Bergaya

Ditulis oleh ZeanaAima



SHAH ALAM : Tahap kematangan berpolitik pengundi Sarawak yang semakin tinggi membolehkan Pakatan Rakyat mengejutkan BN apabila menawan 15 kerusi DUN pada pilihan raya negeri (PRN) Sarawak 16 April lalu.

Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata meskipun media alternatif memainkan peranan penting dalam mendedahkan segala kepincangan pemerintahan BN di Sarawak, hakikatnya tidak semua rakyat negeri itu yang jauh dipedalaman, mampu mencapai akses media itu.

Kenyataan itu sekaligus menepis alasan Perdana Menteri Najib Razak bahawa faktor media alternatif semata- mata menyukarkan kemenangan bergaya untuk BN.

"Bagi Sarawak, tidak banyak orang boleh baca atau capai internet, hanya golongan profesional sahaja yang terdedah dengan media alternatif itu," katanya.

Baru Bian berkata, capaian pengundi pada media alternatif sangat terhad.

"Mungkin ada juga yang mendapat maklumat ini dan berkongsi bersama ibubapa di pedalaman," ujarnya lagi.

Bagi mengatasi permasalahan ini, Pakatan Rakyat menggunakan bahan media seperti CD dan DVD untuk memastikan mesej yang cuba disampaikan, diterima rakyat dengan jayanya.

"Bagi kita dipedalaman adalah cara bagaimana isu dan mesej disampaikan kepada mereka, melalui CD dan DVD," katanya.

Bagaimanapun, Baru Bian berkata golongan profesional dan mereka yang tinggal diluar bandar tidak mempunyai masalah untuk mengakses media tersebut.

Faktor itulah yang memungkinkan Pakatan Rakyat menang dengan majoriti selesa di DUN bandar seperti Kuching, Sibu dan Miri.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke Siew Fook ketika dihubungi Tv Selangor berkata, adalah memalukan bagi BN yang berkuasa mengawal keseluruhan media arus perdana tetapi merunggut apabila berdepan dengan media alternatif yang mempunyai capaian yang amat terhad.

"Memang media massa dikongkong dan dikawal oleh BN, itu yang menyebabkan kita sukar untuk tewaskan BN. Tapi sekarang, bila adanya media alternatif satu tend yang tidak boleh dinafikan oleh siapa pun, itu akan bagi saingan sengit dan trend itu akan berkekalan," kata Siew Fook.

Najib sebelum ini mendakwa kewujudan media alternatif menyukarkan BN untuk memenangi pilihan raya Sarawak dengan majoriti besar.

Pilihan raya Sarawak baru- baru ini menyaksikan BN memenangi 55 daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, manakala Pakatan Rakyat menawan 15 kerusi, sementara calon Bebas memenangi satu kerusi.

Tiada ulasan: