Rabu, 6 April 2011

Mahasiswa gesa UPM batal roboh Kolej Mohamad Rashid

TERKINI


Papan tanda pintu masuk Kolej Mohamad Rashid UPM.

KUALA LUMPUR — Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Mohamad Rashid (MTMKMR) Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah keras keputusan pusat pengajuan tinggi itu yang mahu merobohkan bangunan yang menempatkan kira-kira 460 penuntut.

Menurut Pengerusi MTMKMR, Muhd Adzrean Abdul Wahab, pihaknya menuntut agar pengurusan UPM membatalkan keputusan untuk merobohkan bangunan lima blok bangunan empat tingkat itu.

“Justeru, kami sebagai MTMKMR menuntut supaya keputusan untuk meroboh itu dibatalkan supaya kebajikan penuntut Kolej Mohamad Rashid terjaga.

“Tuntutan ini dibuat atas sebab kegagalan pihak UPM untuk menyediakan laporan bertulis mengenai tahap keselamatan kolej tersebut dan perancangan berkaitan kebajikan pelajar Kolej Mohamad Rashid selepas berpindah keluar,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Tambah beliau, penuntut yang menetap di kolej itu juga sepakat untuk tidak akan berpindah keluar serta menuntut keputusan merobohkan bangunan itu ditarik balik.

The Malaysian Insider difahamkan pengurusan UPM akan membina sebuah kompleks kawasan Kolej Mohamad Rashid itu.

Penuntut yang menetap di Kolej Mohamad Rashid diarahkan untuk mengosongkan bilik masing-masing bermula pada 9 Mei ini, namun tidak diberitahu bila bangunan itu akan dirobohkan.

“Mahasiswa tidak bersetuju untuk pindah keluar dari Kolej Mohamad Rashid. Ini berdasarkan kepada beberapa sebab antara lainnya ialah tiada jawapan konkrit yang diberikan pengurusan UPM untuk merobohkan bangunan di sini.

“Bangunan Kolej Mohamad Rashid masih kukuh dan hanya perlu proses membaikpulih sahaja, malah sehingga kini tiada perancangan terperinci yang dibuat tentang kebajikan mahasiswa sekiranya bersetuju untuk dipindahkan ke lokasi lain,” kata Muhd Adzrean.

Justeru, beliau mahu pengurusan UPM dapat memberikan respon terhadap tuntutan yang dikemukakan MTMKMR dengan segera.

“Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar perlu memberikan penjelasan dalam sesi dialog bersama mahasiswa Kolej Mohamad Rashid.

“Bahagian Pembangunan perlu memberikan bukti kenapa bangunan Kolej Mohamad Rashid tidak selamat diduduki dan pihak UPM perlu menerangkan kepada mahasiswa sama ada kos meroboh dan membina kompleks baru lebih murah dari kos membaikpulih Kolej Mohamad Rashid,” katanya.

Kata Muhd Adzrean, pihaknya akan mengadakan demonstrasi bantahan di pekarangan Kolej Mohamad Rashid petang ini sebagai membantah keputusan pengurusan UPM itu.

Tiada ulasan: