Rabu, 20 April 2011

LTAM sudah lama jadi projek gajah putih

Ahmad Danial


BATU BERENDAM: Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam sudah lama menjadi projek gajah putih yang seolah-olah menjadi tugu dan perhiasan semata-mata.

Sudah bertahun-tahun ianya dinaik taraf tetapi sehingga kini sunyi sepi tanpa kapal terbang.

Hanya sesekali sahaja deruan enjin kapal terbang bergema, itu pun pesawat yang tidaklah besar sekadar membawa penumpang dari Riau ke Melaka.

Hari ini media menyiarkan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang kesal kerana LTAM tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana bahagian promosi pelancong gagal menarik pelancong menggunakan LTAM.

Timbalan Ketua Penerangan PAS Negeri Melaka, Yusof Wahab berkata Pakatan Rakyat (PR) sudah lama membangkitkan isu kegagalan LTAM menarik syarikat penerbangan beroperasi di lapangan terbang tersebut.

"Malah ianya dibangkitkan sebelum LTAM dinaiktaraf lagi. PR sememangnya tidak bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk menaiktarafkan Lapangan Terbang Batu Berendam menjadi LTAM yang kononnya mencapai spesifikasi sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

"Namun oleh kerana sikap bongkak dan degil kerajaan negeri pimpinan Ali Rustam duit rakyat berjumlah RM131 juta akhirnya beku begitu sahaja kerana lapangan terbang ini tidak ekonomik di mana tiada syarikat besar yang sudi beroperasi di LTAM," kata Yusof.

Yusof berkata, MAS dan AirAsia siang-siang lagi menolak untuk beroperasi di sini atas alasan komersial di mana ia dijangkakan tidak memberi keuntungan jika mereka beroperasi di LTAM.

"Jelas sekali kerajaan negeri Melaka tidak melaksanakan kajian terperinci dan tepat sebelum melaksanakan projek pembesaran lapangan terbang ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan negeri Melaka pimpinan Ali Rustam cuai dan lemah serta lembap. Akhirnya duit rakyat berjumlah RM131 juta dibazirkan.

"Sedangkan dengan duit RM131 juta itu banyak lagi projek yang memberi manfaat kepada rakyat seperti projek mengatasi masalah banjir, menaiktaraf Hospital Melaka yang tidak cukup kelengkapan dan katil serta lain-lain projek yang benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat," tambah Yusof.

Yusof kesal dengan kegagalan LTAM yang akhirnya menyebabkan duit rakyat dibazirkan begitu sahaja.

"Kini apa yang rakyat dapat dengan LTAM. Takkanlah ia hendak dijadikan muzium kapalterbang atau cuma jadi hiasan bagi penduduk negeri Melaka sahaja.

"Malangnya Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam tidak mahu bertanggungjawab. Sebaliknya beliau menyalahkan Agensi Pelancongan Negeri Melaka yang dakwanya gagal menarik syarikat-syarikat penerbangan beroperasi di sini," katanya

Malaysiakini dan Sinar Harian hari ini melaporkan Ali Rustam mengakui mengakui operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) tidak mendapat sambutan.

Malangnya Ali tidak mahu bertanggungjawab di atas kelemahan dan kegagalan kerajaan Melaka yang gagal menarik syarikat penerbangan beroperasi di LTAM. Sebaliknya menyalahkan Bahagian Promosi Pelancongan (BPP).

Beliau dilaporkan berkata bahawa kesal dan kecewa terhadap agensi pelancongan terbabit kerana tidak menjalankan promosi terhadap LTAM sehingga lapangan terbang ini tidak mendapat sambutan.

Menurut Ali BPP tidak boleh menunggu kerajaan negeri sahaja berusaha menjalankan promosi dan kegiatan lain bagi menarik pengguna untuk menggunakan kemudahan di LTAM.

Sehubungan dengan isu itu, Yusof hairan mengapa pula BPP yang dipersalahkan sedangkan BPP kerjanya bukan untuk menarik syarikat penerbangan beroperasi di LTAM tetapi kerja asasnya ialah menarik pelancong datang ke Melaka.

"Janganlah salahkan orang lain kalau kegagalan itu adalah kegagalan Ali dan kerajaan negeri yang tersilap percaturan membangunkan LTAM yang sememangnya dari awal tidak mempunyai nilai komersil untuk dinaiktaraf kerana lokasinya yang berdekatan dengan Kuala Lumpur dan Singapura.

“Pelancong lebih suka menggunakan jalan darat untuk ke Melaka berbanding dengan menaiki kapalterbang yang kosnya mungkin lebih mahal," tambah Yusof.

Menurut Yusof isu LTAM pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jasin dalam sidang Parlimen.

Menteri Pengangkutan pada masa itu, Ong Tee Keat memberitahu Parlimen bahawa syarikat penerbangan Malaysia seperti MAS dan AirAsia sememangnya tidak berminat untuk beroperasi di LTAM kerana ianya tidak menguntungkan mereka.

"Jadi apa langkah Ali dan kerajaan negeri sekarang, adakah mereka hendak lelong LTAM ini atau mereka hendak jadikan ia Muzium Penerbangan?" tanya Yusof.

Tiada ulasan: