Khamis, 21 April 2011

LBJ : Penduduk Serah Pelan Rumah Sebagai Ingatan Kepada PM

TVS NEWS



PUTRAJAYA : Jawatankuasa Bertindak Bekas Pekerja Ladang Bukit Jalil (JBBPLBJ) hadir dihadapan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya hari ini bagi menyerahkan cadangan pelan perumahan yang dicipta oleh mereka sendiri serta memohon campurtangan politik Perdana Menteri bagi menyelamatkan rumah mereka.

Penyelaras Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit), S Arutchelvan berkata memorandum yang diserahkan hari ini lengkap dengan pelan bagi membentangkan bagaimana empat ekar tanah yang dituntut (pekerja ladang) boleh diberikan kepada 41 keluarga yang terlibat.

"Komuniti yang ada ini telah pun proaktif dimana mereka telah pun bersedia dengan menyerahkan plan, di mana tuntannya ialah 4 ekar tanah daripada baki 26 ekar tanah yang ada di Ladang Bukit Jalil," kata Arutchelvan.

Menurut beliau, pihaknya mempertikaikan Skim Perumahan Bagi Pekerja Ladang yang diasaskan oleh Perdana Menteri Pertama Tun Abd Razak pada 1973 gagal dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang.

Beliau juga mengesa Perdana Menteri sekarang, Najib Razak terlibat secara langsung dalam penyelesaian masalah ini.

"Tun Razak bapa perdana menteri kita (Najib Razak) ada membuat satu skim pada tahun 1973 di mana semua ladang harus memberi tanah untuk membina rumah
(pekerja), sejak 1973 hingga 1996 Ladang Bukit Jalil telah pun memohon untuk skim tersebut, dan persoalannya kenapa ia belum dilaksanakan sehingga kini,"jelasnya lagi.

Pemberian pampasan tersebut dilihat tidak munasabah berbanding pengorbanan pekerja ladang yang sejak empat generasi berkhidmat untuk ladang tertua di Lembah Klang itu dan kini mereka menganggap tindakan kerajaan menghalau mereka tidak ubah seperti penduduk setinggan.

Pampasan yang ditawarkan kerajaan kepada pekerja ladang ialah tawaran RM22,852 kepada mereka yang telah berkhidmat selama 15 tahun dan RM11,986 kepada yang berkhidmat selama 7 tahun.

Ladang Bukit Jalil yang masih menempatkan beberapa rumah bekas pekerja ladang itu kini berhadapan risiko dipindahkan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
(DBKL) mengemukakan notis pengusiran kepada mereka dan permohonan injunksi penduduk menghentikan pengusiran tersebut akan diputuskan pada 27 April depan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Arutchelvan berpendapat, sekirannya polisi ini dilaksanakan dengan berkesan, tidak mungkin wujud masalah perumahan bagi pekerja ladang seperti apa yang dinikmati oleh orang melayu melalui skim FELDA dan orang cina menerusi program kampung baru.

"Kalau Tun Abdul Razak masih hidup, mungkin perkara ini akan dilaksanakan, sebab itu kami bertanya kepada Najib untuk memastikan Perdana Menteri yang ada
sekarang ini melihat perkara ini sebagai masalah tanah, isu ini bukan suatu yang luar biasa, bagi tanah untuk bina rumah dan ia juga adalah polisi kerajaan,"tambah beliau lagi.

Pelan Perumahan dan Petisyen Sokongan Selamatkan Ladang Bukit Jalil itu diterima oleh Setiausaha Khas Perdana Menteri, Mohd Amir Harun.

Sekurang-kurangnya 40 wakil penduduk hadir bersama bagi menyuarakan bantahan kerana tidak menerima cara penyelesaian DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik.

Arutchelvan, yang hadir bersama penyelaras Jerit Nalini Ellumalai, Setiausaha JBBPLJ, Thiakarajan Sathasiyam dan lain-lain menyatakan Kerajaan perlu melihat pengorbanan dan kerja-keras mereka yang telah bergenerasi membanting tulang bagi kemajuan negara.

"Kerajaan kena lihat pengorbanan mereka secara keseluruhan selama empat generasi dan tuntutan pemberian empat ekar tanah ini bukan sesuatu yang tidak munasabah,"katanya.

Tiada ulasan: