Ahad, 17 April 2011

KSN: Status senator Murugiah, timbalan menteri tamat esok

THE MALAYSIAN INSIDER



KUALA LUMPUR— Tempoh perkhidmatan Datuk T. Murugiah sebagai senator akan berakhir esok, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau, perkhidmatan Murugiah (gambar) sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga akan berakhir esok.

“Bagi pihak kerajaan, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Senator Datuk Murugiah Thopasamy di atas sumbangan, khidmat bakti dan perkhidmatan beliau sebagai anggota Dewan Negara dan Timbalan Menteri Persekutuan,” kata Sidek dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Minggu lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa kedudukan Murugiah sebagai anggota Dewan Negara yang akan berakhir Isnin ini tidak disambung, sekali gus akan digugurkan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

The Malaysian Insider difahamkan Murugiah, 47, bekas pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) yang menyertai MIC Ogos lalu, telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kedudukannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Empat bulan sebelum Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden MIC, Murugiah diterima secara rasmi menyertai parti itu dan menjadi ahli biasa cawangan Batu Matang di Bukit Gantang, Perak.

Murugiah, ketua Pemuda PPP yang dipecat telah dilantik sebagai senator dan diberikan jawatan timbalan menteri ketika masih menganggotai parti itu.

Awal minggu lalu, Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, MIC ingin mengehadkan tempoh bagi anggotanya memegang jawatan senator kepada satu penggal atau tiga tahun sahaja bagi membolehkan parti itu ‘memberi kuasa’ kepada pemimpinnya di negeri yang BN tewas pada pilihan raya umum 2008.

Palanivel, yang juga bertaraf senator berkata, selepas BN kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pada pilihan raya umum 2008, kebanyakan senator MIC adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: