Jumaat, 8 April 2011

KP Selangor : Tindakan Terhadap Anggota Polis Yang Kurang Berdisiplin Di Bawah Ops Payung

BERNAMA

SHAH ALAM – Kelakuan anggota polis di bawah penempatan “Ops Payung” seperti membaca surat khabar, berbual kosong, berbual menggunakan telefon bimbit, menghisap rokok serta duduk di atas meja, boleh menjatuhkan imej pasukan itu di mata orang ramai, kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah.

Beliau berkata jika mereka didapati melakukan kesalahan itu buat pertama kali, mereka akan diberi teguran dan sekiranya berulang, tindakan tatatertib boleh dikenakan.

Tun Hisan berkata demikian ketika melancarkan fasa kedua Ops Payung yang melibatkan penambahbaikan peralatan seperti meja, payung, lampu dan “beacon” (lampu berwarna biru) untuk kegunaan pasukan polis di 14 daerah di Selangor di Ibu Pejabat Kontijen Polis Selangor di sini hari semalam.

Di bawah operasi ini, seorang anggota polis akan diletakkan di bawah payung yang dilengkapi meja dan kerusi bagi mengawasi ketenteraman awam sementara dua lagi rakan mereka melakukan rondaan di satu-satu tempat.

Tun Hisan berkata, “beacon” yang diletakkan di atas payung akan memudahkan orang ramai melihat kehadiran polis di kawasan mereka dari jauh untuk mendapatkan bantuan jika berlaku jenayah terutamanya pada waktu malam.

Meja baru yang dibekalkan pula boleh diubah menjadi papan tanda bagi menjalankan sekatan jalan raya sekiranya berlakunya kejadian jenayah berhampiran kawasan mereka berkawal.


Tiada ulasan: