Sabtu, 9 April 2011

Khairy: Isu video seks sengaja dicetus alih fokus rakyat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Khairy Jamaluddin menegaskan, dakwaan kononnya turut wujud rakaman video seks membabitkan beliau sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi mengalih tumpuan rakyat daripada isu sama mengaitkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khairy (gambar) yang juga Ketua Pemuda Umno ketika ditanya media berhubung perkara berkenaan berkata, ia adalah satu usaha yang tidak berasas untuk menjatuhkan diri beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau.

“Saya melihat ini satu usaha untuk mengalih pandangan dan tumpuan rakyat daripada skandal yang melibatkan pemimpin pembangkang,” kata beliau di Pokok Sena, Kedah hari ini.

“Ia kisah lama yang sebenarnya keluar pada pilihan raya umum yang lepas untuk menjatuhkan saya tetapi tidak berjaya,” kata beliau dipetik laporan media.

Kelmarin, Pemuda Umno Rembau mencabar bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Badrul Hisham Shaharin, membuktikan dakwaannya beliau pernah menerima rakaman aksi seks yang dikatakan melibatkan Khairy ketika pilihan raya umum 2008.

Kelmarin, Badrul Hisham yang turut dikenali sebagai “Chegubard” berkata beliau pernah didampingi seseorang yang membekalkan rakaman adegan seks yang dikatakan melibatkan Ketua Pemuda BN itu.

“Badrul Hisham Shaharin dicabar membuktikan dakwaan beliau dalam The Malaysian Insider adalah benar. Dalam kenyataan Badrul Hisham kata bahawa beliau telah dibekalkan oleh ahli Umno rakaman video lucah Khairy Jamaluddin (ketika) pada pilihan raya 2008. Kenyataan ini adalah bersifat biadab dan berunsur fitnah,” kata Penolong Setiausaha Pemuda Umno Rembau, Safariladira Abdullah.

Kata Safariladira, Pemuda Rembau juga mencabar Badrul Hisham untuk membuktikan bahawa beliau mempunyai video berkenaan dan jangan hanya bercakap kosong menabur fitnah dan berniat jahat.

Badrul Hisham dalam kenyataannya kelmarin berkata, ketika kempen pilihan raya umum 2008 juga pasukan kempennya telah didekati dengan orang tidak dikenali, dipercayai orang Umno yang memberikan video lucah, yang kononnya Khairy.

Badrul Hisham berkata lebih 2,000 keping video telah dibakar.

“Kini terbaru pula ada pihak yang menghubungi SAMM mengenai kewujudan video seks yang kononnya merakamkan aksi seks seorang isteri pimpinan tertinggi negara.

“Namun SAMM mengajak semua politik selak kain ini dihentikan segera jangan kerana kuasa sanggup lakukan apa saja,” katanya lagi.

Lebih dua minggu lalu negara dikejutkan pendedahan rakaman video seks, didakwa melibatkan aksi seks Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat, oleh “Datuk T”.

Awal minggu ini, klip sedutan pendedahan itu disebarkan menerusi dunia siber khususnya oleh blog-blog pro-Umno.

Tiada ulasan: