Rabu, 13 April 2011

Kes Sarbaini: 40 saksi sudah disiasat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Polis telah mengambil keterangan 40 individu bagi membantu siasatan kes kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbaini Mohamed di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di sini minggu lalu.

Petang semalam, peguam keluarga Ahmad Sarbaini berkata mereka telah menyerahkan bukti baru, yang tidak dinamakan, kepada polis - yang dipercayai boleh menentukan sama ada Allahyarham Ahmad Sarbaini meninggal dunia kerana membunuh diri ataupun sebaliknya.

Bernama Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah berkata bagaimanapun kes itu masih disiasat di bawah kes mati mengejut.

Polis sedar kes ini menarik perhatian dan siasatan akan dibuat dengan teliti, katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Zulkifli meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan.

Orang ramai juga dinasihat agar menyalurkan sebarang maklumat sekiranya ada, terus kepada pihak polis, katanya.

Allahyarham Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di Pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan pejabat SPRM Wilayah Persekutuan setelah dilaporkan datang untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia.

Tiada ulasan: