Isnin, 25 April 2011

Kes Fitnah Kedua : Sesi Penggulungan Berlangsung

(TERKINI)



KUALA LUMPUR : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar penggulungan kes fitnah kedua membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguambela Karpal Singh memulakan pengulungan bagi pihak tertuduh.

Karpal dalam hujahnya berkata, bahawa timbul keraguan oleh pihak pendakwaan apabila doktor pakar Hospital Pusrawi, Dr. Mohd Osman tidak dipanggil memberi keterangan dalam kes tersebut.

Justeru peguam vateran itu mengingatkan mahkamah supaya bergantung kepada apa yang dikemukakan di mahkamah dan bukannya terpengaruh dengan anasir luar.

"Bukan media atau apa yang dikatakan oleh perdana menteri," katanya.

Karpal juga berkata, pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan turut menemui bekas pembantu Anwar, Ezam Mohd Nor pada hari yang sama beliau membuat laporan polis di mana tindakannya itu mengundang pelbagai spekulasi.

Terdahulu Karpal dalam hujahnya berkata, pada hari kejadian bertempat di unit kondominium Desa Damansara, pengadu yang juga bekas pembantu peribadi Anwar, berpeluang untuk meninggalkan lokasi sebelum Anwar dituduh memaksa beliau melakukan seks luar tabii tanpa rela.

Namun kata Karpal, Saiful mengambil keputusan untuk tidak berbuat demikian.

Kata Karpal pengadu sebaliknya hanya menuruti permintaan Anwar walaupun beliau mengakui dipaksa tertuduh.

Seterusnya Karpal berkata, adalah penting bagi mahkamah untuk mengambilkira kredibiliti testimoni saksi yang diperhatikan tidak konsisten.

Katanya, sebarang bukti atau kenyataan lisan yang tidak kukuh harus ditolak mahkamah.

Seterusnya, Ram Karpal Singh mengambil giliran mengemukakan penghujahan berasingan berhubung keterangan saksi pakar DNA, Dr Seah dan pengalisis Nor Aidora Saedon.

Ram menjelaskan kepada mahkamah bahawa ujian DNA yang dijalankan oleh kesemua pakar Jabatan Kimia Malaysia berhubung sampel yang ditemui pada tuala muka "Good Morning", berus gigi dan botol air mineral tidak konsisten.

Ini katanya tidak menuruti garis panduan antarabangsa selain bersifat bias dan tidak sahih.

Malah tegas beliau, tugas pakar DNA adalah untuk memberikan pandangan yang jujur kepada mahkamah selain analisis tersebut haruslah dibekalkan kepada pihak peguambela.

"Bukti adalah untuk membantu mahkamah untuk membuat kesimpulan. Namun ianya (analisis) membuatkan perkara lebih rumit," ujar beliau.

Peguambela Sankara Nair kemudian mengambil giliran mengemukakan penggulungan di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah berhubung keterangan saksi doktor Hospital Kuala Lumpur.

Sankara menjelaskan kepada mahkamah bahawa pendakwaraya tidak dapat menjelaskan tentang tiada kesan koyak pada dubur pengadu, Saiful sekiranya beliau mendakwa diliwat.

Katanya lagi, sekiranya pendakwa mengesahkan penggunaan 'gel KY' semasa diliwat, maka adalah ganjil jika bahan pelincir tersebut tidak dihantar ke makmal kimia untuk dianalisis.

Berdasarkan laporan kimia yang dikemukakan, Sankara tidak menolak kemungkinan wujud tekanan politik memandangkan laporan tersebut hanya mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan sedangkan prosedur biasa memakan masa hingga tiga bulan.

Sankara kemudian memberitahu mahkamah tiada ujian saintifik dilakukan keatas semen yang ditemui pada dubur pengadu.

Beliau kemudian berkata, walaupun ujian DNA dilakukan pada semen tersebut namun keputusannya tidak boleh diterima pakai memandangkan ianya telah disimpan lebih dari 96 jam.

Sankara menjelaskan protokol makmal diabaikan sama sekali dan keputusan ujian tidak boleh diterima pakai.

Beliau turut mempersoalkan tindakan pakar kimia menerima sampel spesimen yang diserahkan DSP Jude Balcious Periera walaupun tarikh salah dicatitkan pada label botol yang diperoleh.

Ujian keatas Saiful dilakukan pada 28 Jun namun tarikh pada botol tersebut tertulis 26 Jun.

Peguambela seterusnya mempersoalkan pergerakan Saiful ketika menaiki lif di kondominium Desa Damansara pada hari kejadian.

Sankara menyifatkan Saiful tidak pernah sampai ke unit tersebut dan tidak pernah diliwat Anwar seperti yang didakwa memandangkan beliau keliru dengan lokasi unit tersebut walaupun mendakwa telah pergi ke tempat kejadian beberapa kali sebelum ini.

Ini berdasarkan video CCTV yang merakam Saiful keluar pada aras yang salah.

Anwar berhadapan dengan dakwaan meliwat Saiful Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.01petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sankara kemudian mengakhiri penggulungan beliau. Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung pada jam 2.30 petang.

Tiada ulasan: