Rabu, 27 April 2011

Kerajaan Selangor bina 56 papan iklan kempen gesa mansuh ISA

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR– Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM600,000 untuk memasang sebanyak 56 papan iklan kempen Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA di seluruh negeri.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, papan iklan kempen itu akan dipasang di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata, kos pemasangan papan iklan ini menggunakan peruntukkan Dana Akaun Amanah Penswastaan dan disalurkan kepada Menteri Besar Pemerbadanan (MBI).

Beliau berkata, projek pemasangan dan pembinaan papan-papan iklan ini akan dilakukan secara tender terbuka yang akan diiklankan di akhbar-akhbar utama.

“Usul untuk memasang papan iklan Selamatkan Malaysia: Mansuhkan ISA telah diluluskan oleh Dewan Negeri Selangor yang bersidang pada 1 April 2011,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Menteri Besar berkata, pemasangan papan iklan ini sejajar dengan hasrat kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang mahu melaksanakan transformasi menyeluruh dalam semua aspek pengurusan negara.

“Ia juga sejajar dengan program kedua yang terkandung dalam Program 100 Hari jika Pakatan Rakyat memerintah negara iaitu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” katanya.

Tiada ulasan: