Ahad, 24 April 2011

KEADILAN bantah laporan Berita Harian sensasikan isu video

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: KEADILAN membantah dan menolak sekeras-kerasnya laporan muka hadapan Berita Harian semalam yang mensensasikan isu video seks ketika penyiasatan polis masih diteruskan.

“Kami (KEADILAN) kesal kerana Berita Harian dengan sengaja mensensasikan isu video seks itu walaupun penyiasatan polis masih diteruskan.

“Kami turut kesal apabila Berita Harian diperalat pihak tertentu demi merekayasa ‘perbicaraan melalui media’, yang cukup jelas bernada politik dalam percubaan terus-menerus untuk mengaib dan menganiaya Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Pada tajuk utamanya semalam, akhbar itu memetik sumber tanpa nama, kononnya sebuah agensi penyiaran terkemuka di Korea Selatan yang menganalisis rakaman video seks mendapati pelaku dalam rakaman itu sepadan dengan Anwar.

Menurut akhbar itu lagi, polis juga telah mengenalpasti lokasi video tersebut dirakamkan, iaitu di sebuah kondominium di pinggir Kuala Lumpur dan wanita terbabit dipercayai seorang pelajar di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta di ibu negara.

“Harus diingat bahawa syarikat Korea Selatan tersebut telah dipilih dan diberi maklumat khusus oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana ketua-ketua mereka masih menuruti kehendak barisan ahli politik yang mempunyai dendam kesumat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menamatkan perjuangan reformasi politik beliau.

“Datuk Seri Anwar telah menafi sekeras-kerasnya penglibatan beliau dalam video ini. Kami juga ingin menyatakan dengan tegas bahawa individu di dalam video itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru kata Saifuddin, kredibiliti PDRM sekali lagi terjejas dan dipersoalkan selepas pendedahan oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam beberapa surat terbuka beliau.

Dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Mat Zain menyebut mengenai empat laporan polis yang dibuat Anwar antara 9 Julai 1999 dan 20 Ogos 1999 mengenai salah guna kuasa dan menghalang proses undang-undang oleh sebilangan individu tersohor, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Abdul Gani Patail.

“Mengapakah tiada tindakan lanjut dari pihak polis mengenai laporan-laporan polis ini?” soal Saifuddin.

Mat Zain juga menurut Saifuddin mendedahkan mengenai persamaan yang cukup rapat antara ‘video seks’ ini dengan ‘video seks’ yang disebarkan beberapa hari sebelum pilihan raya umum tahun 1999.

“Kami mengajak rakyat Malaysia bersama-sama menolak ‘politik lucah’, dan marilah bersatu menggesa pemulihan semula institusi-institusi terpenting negara, terutamanya PDRM, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPR, dan badan kehakiman,” kata Saifuddin.

Tiada ulasan: