Jumaat, 8 April 2011

Kami sudah biasa dengan Kak Ani

Hazayani Zakaria

KOTA SAMARAHAN: Hari pertama berkempen selepas penamaan calon semalam, calon PAS di N15 Dun Muara Tuang, Noraini Hamzah pagi tadi bertemu dengan pengundi di Pasar Tani Kota Samarahan.

Lebih dikenali dengan panggilan Kak Ani di kalangan penduduk tempatan, kehadiran Noraini di pasar tani berkenaan ternyata bukan perkara luar biasa bagi beberapa peniaga di situ.

Apabila pengiring-pengiring Noraini yang terdiri daripada Muslimat Negeri Perak memperkenalkan Noraini kepada mereka, mereka menyambut dengan senyuman dan berkata 'kami sudah biasa dengan Kak Ani'.

Ini sekaligus membuktikan PAS membuat pilihan tepat apabila meletakkan Noraini sebagai calon untuk menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Taib.

Mohammad Ali adalah penyandang kerusi Dun ini yang menang dengan majoriti 6,327 undi apabila meraih 7,863 undi pada pilihan raya negeri kesembilan lalu.

Beliau menewaskan calon PKR, Abang Ibrahim Abang Othman dan Bebas, Jong Nyuk Chan yang masing-masing mendapat 1,536 dan 415 undi.

Para pengundi terdiri daripada kaum Melayu Melanau, Cina, Iban dan Bidayuh.

Sementara itu, rata-rata peniaga dan pengunjung pasar berkenaan yang terdiri daripada Melayu dan Cina ialah pengundi tempatan dan menyatakan kesediaan untuk keluar mengundi dan menyokong calon PAS.

Seorang peniaga buah-buahan yang ditemui, Zakaria Sabu, 45, begitu teruja berkongsi pengetahuan mengenai PAS dan kerajaan Pakatan Rakyat.

Beliau sempat bercerita pernah bertemu dan berbual mesra dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sewaktu Menteri Besar Kelantan itu menghadiri satu program di Sarawak suatu ketika dahulu.

Ditanya mengenai Noraini, beliau mengakui nama itu tidak asing di Muara Tuang.

"Saya memang sudah biasa dengan PAS, dengan Noraini dan akan bantu PAS berkempen di sini," katanya.

Isterinya, Midah Mut, 37, turut menunjukkan sokongan yang sama.

“Insya Allah kami penyokong PAS di sini," katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, seorang pemilik kedai barangan elektrik, Lawrence Liew, 36, (gambar kanan) dengan tegas menolak kepimpinan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ditanya mengenai pandangan beliau mengenai Taib, beliau berkata pemimpin BN itu hanya sinonim dengan perkataan 'rasuah'.

"Satu perkataan yang sesuai, rasuah. Itu sahaja.

"Tak payah komenlah, goyang kepala sudah cukup," katanya sebagai menggambarkan kegagalan Taib memerintah Sarawak secara adil.

Katanya, rakyat begitu susah dan tidak dapat menikmati kekayaan negeri di bawah pemerintahan Taib.

"Saya rasa rakyat banyak susahlah, semua kaum, kecuali yang kaya-kaya itu jangan kiralah," katanya.

Sehubungan itu,beliau mengajak pengundi-pengundi menolak calon BN dan memberi undi kepada Pakatan Rakyat.

"Saya memang minta rakyat lakukan perubahan melalui undi supaya dapat satu masyarakat yang lebih bersih," katanya.

Tiada ulasan: