Ahad, 17 April 2011

Kalah Bukan Bererti PAS Tidak Diterima Rakyat Sarawak

TVS NEWS


SHAH ALAM : Penganalisis Politik, Professor Dr. Abdul Aziz Bari menyifatkan kegagalan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memenangi sebarang kerusi pada pilihanraya negeri Sarawak ke 10 semalam sebagai pemangkin semangat kepada parti itu untuk terus berjuang menawan hati pengundi Bumi Kenyalang khususnya di kawasan majoriti Melayu-Melanau yang penduduknya beragama Islam.

Professor Dr. Abdul Aziz Bari berkata, kegagalan PAS untuk memenangi sebarang kerusi juga bukanlah merupakan petanda bahawa rakyat Sarawak tidak dapat menerima parti Islam itu, sebaliknya jika PAS terus mengatur gerak kerja dengan lebih konsisten ia mampu mengubah persepsi dan mentaliti serta mendapat sokongan kuat dari mereka.

"Sekiranya PAS meningkatkan usaha mereka secara konsisten dengan apa yang dilakukan sebelum ini, saya yakin mereka boleh menang.Dan saya fikir kita harus lihat bahawa secara umumnya undi kaum Melayu-Melanau kuat pada BN," katanya.

"Dalam tempoh 10 hari berkempen ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk mana-mana parti memberikan impak besar yang boleh diterjemahkan melalui peningkatan jumlah undi sebaliknya memang secara permukaannya mereka kalah tapi dari segi lainya bagaimanapun ia memberikan satu lonjakan kepada mereka," ujarnya lagi.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Manakala Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

PAS tewas di kesemua kerusi yang ditandingi parti Islam itu iaitu di Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Katanya, antara faktor kekalahan PAS juga berkemungkinan pengundi di Sarawak tidak faham dasar perjuangan yang dibawa parti itu.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat Isa semalam berkata, pihaknya menghormati dan akur dengan keputusan yang telah diumumkan walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka melahirkan anak sulungnya.

Tambahnya, PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang diperoleh parti itu yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda bahawa parti Islam itu mempunyai masa depan yang cukup baik di Sarawak.

Tiada ulasan: