SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyedari perlakuan zina yang berlaku masakini di Selangor adalah satu masalah serius yang perlu diberi perhatian dan langkah pencegahan secara berterusan dari masa ke semasa berikutan jumlah anak luar nikah amat membimbangkan dengan 257,000 kes direkodkan sehingga 2008.
Exco Hal Ehawal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali dalam sidang DUN ketika menjawab soalan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman, menjelaskan masalah tersebut adalah satu masalah besar yang tidak hanya melanda negeri Selangor tetapi juga di seluruh negara.
Katanya, berdasarkan statistik sehingga 2008 dilaporkan sebanyak 257,000 kes telah direkodkan sebagai anak-anak yang lahir tanpa ikatan perkahwinan yang sah dan setiap bulan sebanyak 2,500 kes dicatatkan.
“Anak-anak yang lahir daripada itu ditafsirkan sebagai anak yang tidak sah taraf dan dalam surat beranaknya pun tidak disebutkan sebagai anak yang sah taraf,” katanya.
“Masalah ini adalah masalah yang sangat besar yang bukan saja melanda kita di Selangor ini bahkan saya rasa di seluruh Malaysia dan kalau kita lihat statistik yang ada sebanyak 257,000 hingga tahun 2008 yang telah direkodkan sebagai anak-anak yang lahir tanpa ikatan perkahwinan di antara ibu dan ayahnya dan kalau kita lihat hariannya 2,500 kes yang direkodkan setiap bulan,” tambahnya.
Beliau berkata, masalah yang dihadapi ialah orang yang datang untuk membuat pendaftaran rasmi adalah kecil berbanding mereka yang tidak mendaftar.
Sebagai contoh,katanya jika yang tidak mendaftar itu empat kali lebih banyak bermakna terdapat hampir 10,000 kes yang wujud dan dilaporkan juga berlaku 83 kes setiap hari.
Sehubungan itu, tambahnya, kerajaan negeri sentiasa berusaha mencari jalan menanganinya seperti menganjurkan pelbagai program seperti Generasi Idaman Selangor (GeMS), Anti Zina dan sebagainya serta yang terbaru perkahwinan perdana yang dijalankan di Kampung Delek minggu lepas.
Seterusnya beliau menyatakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menjalankan pencegahan dengan pegawai penguatkuasanya jika mengikut nisbah adalah satu berbanding 25,000 orang maka penambahan pegawai penguatkuasa Jais diperlukan berhubung perkara itu.
Jelasnya, perkara utama yang menyebabkan ianya berlaku adalah faktor keluarga yang menghadapi pelbagai masalah dan hidup tidak aman.
“ Faktor itu ialah keluarga yang tidak dapat hidup dengan aman damai, keluarga yang bercelaru, keluarga yang dalam keadaan tidak aman, keluarga yang runtuh yang bercerai berai dan sebagainya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan