Selasa, 12 April 2011

Exco S'gor Kesal Tindakan 'Ugut' Muhyiddin Demi Raih Undi

Ditulis oleh Naem Raffi



SHAH ALAM : Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali menyifatkan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April ini sebagai terdesak dalam memastikan mereka terus kekal berkuasa di Bumi Kenyalang.

Dr Halimah Ali berkata, kerajaan Selangor juga berasa kecewa dengan kenyataan itu yang dilihat seolah-olah mengugut guru di Sarawak untuk turut sama bersekongkol dengan Barisan Nasional sekali gus menafikan prinsip demokrasi di negara ini.

"Sebagai negara yang mengamalkan prinsip demokrasi, kepimpinan Umno-Barisan Nasional khususnya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya memperlihatkan tindakan terdesak mereka yang mahu menyelamatkan BN dari terus jatuh ke tangan Pembangkang,"katanya.

"Ini kerana guru-guru mempunyai hak asasi sama seperti rakyat lain. Justeru itu, mereka berhak untuk menentukan siapa sahaja yang mereka mahu untuk dijadikan wakil rakyat."

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menggesa mereka membantu BN menang besar, dengan memangkah calon-calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu ini.

“Saya menggesa semua pihak membantu memastikan BN menang besar di Sarawak. Sila pangkah X bersebelahan petak BN (diatas kertas undi), Muhyiddin dipetik berkata oleh Malaysiakini.

"Pembangkang akan berkata kita berkempen menerusi guru tetapi ini hanya peringatan secara lembut namun peringatan yang penting,” tambah Muhyiddin.

Muhyiddn yang juga Timbalan Pengerusi BN berucap kepada kira-kira 400 guru yang mengikuti satu program untuk pendidik di Sibu petang tadi.

Mengulas lanjut kenyataan dan tindak tanduk Timbalan Pengerusi Umno itu, Dr Halimah mengingatkan Muhyiddin supaya belajar untuk menghormati hak para pendidik seluruh Malaysia serta menghentikan amalan politik kotor yang jelas tindakan menghalalkan cara.

"Saya ingin mengingatkan Muhyiddin agar menghormati guru-guru di seluruh Malaysia sebagai golongan intelek yang bebas bersuara dan bukan untuk dikongkong oleh Menteri Pelajaran,"

"Saya juga menyeru guru-guru bangun mempertahankan diri daripada terus ditekan dan diperkotak-katikkan oleh kerajaan BN"

Tiada ulasan: