Khamis, 21 April 2011

Emel 1Malaysia: Azan bimbang soal keselamatan, peranan APCO

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, beliau khuatir projek emel 1Malaysia bertujuan untuk mengawal dan mengakses maklumat daripada rakyat negara ini untuk tujuan politik.

“Penyediaan emel 1Malaysia ini menunjukkan cadangan kerajaan yang terdesak untuk mengawal rakyat dan saya yakin 100 peratus bahan yang terkandung di dalam emel ini nanti adalah bahan-bahn politik.

“Apa yang lebih dibimbangkan ia akan digunakan untuk menyebarkan dakyah politik BN yang tidak ada manfaat sama sekali kepada rakyat,” ujarnya kepada Keadilandaily.com.

Malah, menurut Azan, apa yang lebih membimbangkan, syarikat berkaitan Israel, Apco Worldwide yang melaksanakan perkhidmatan berkaitan komunikasi kepada kerajaan, turut memainkan peranan.

“Sudah tentu Apco ialah agen konsultan yang menguruskan komunikasi dan perhubungan untuk najib dan sudah tentu projek emel ini jatuh dalam bidang kuasa dan tanggungjawab Apco.

“Kita bimbang sekiranya penyediaan emel ini berkembang, syarikat Apco akan masuk untuk menjadi penasihat. Tentunya maklumat-maklumat yang diperoleh ini akan jatuh ke tangan (negara) asing,” ujarnya.

Beliau turut mengulas kenyataan perdana menteri bahawa projek berkenaan yang dijalankan oleh syarikat Tricubes Bhd, merupakan inisiatif daripada sektor swasta dan tidak dibiayai kerajaan.

Sedangkan kata Azan, syarikat berkenaan dikategori sebagai sebuah syarikat yang bermasalah dalam Bursa Malaysia.

“Ia tidak logik sama sekali, bagaimana penyediaan emel ini akan dibangunkan yang sekurang-kurangnya memerlukan kos pengurusan bagi penyediaan server yang tentu menelan belanja.

“Budak darjah enam pun tak akan percaya,” ujar Azan.

Azan menambah, projek itu menunjukkan kedangkalan perdana menteri dalam mendapat nasihat barisan kabinet dan para pegawainya.

Menurutnya lagi, sekiranya syarikat tersebut merupakan Private Finance Inisiatif, tentunya projek emel 1Malaysia itu adalah berlandaskan jangkaan untuk mendapatkan keuntungan maksima.

“Ia mungkin memperoleh keuntungan melalui penjualan iklan, tapi tidak mungkin akan capai keuntungan melalui iklan yang tidak seberapa.

Malah katanya, beliau juga tidak menolak Tricubes Bhd melakukan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti kerana mengamalkan saham spekulatif, selepas mengumumkan projek tersebut, yang melonjakkan saham syarikatnya.

Menurut Azan, kerajaan sejak beberapa tahun kebelakangan telah membelanjakan sebanyak hampir RM30 bilion, kononnya untuk meningkatkan celik IT dan juga menyediakan kemudahan internet termasuk peningkatan projek jalur lebar.

“Kawasan pedalaman mereka lebih memikirkan kemudahan eletrik dan air. Kemudahan internet ini dinikmati tidak sampai pun 30 peratus rakyat Malaysia.

“Di kawasan pedalaman seperti di Sarawak, Perlis dan Kedah misalnya rakyat tidak menikmati kemudahan internet. Malah liputan telefon pun belum tentu dapat,” ujarnya.

Tiada ulasan: