Isnin, 18 April 2011

Dr Lo' Lo' santuni mangsa banjir lumpur, tanah jerlus

M Shari Samsudin


KUALA LUMPUR: Lebih 58 keluarga di Kampung Baru, dekat sini, dipindahkan ke Dewan Serbaguna, Jalan Hamzah apabila sebuah palong besar pecah mengakibatkan tanah di kawasan berkenaan jerlus dan berlaku banjir lumpur.

Kejadian yang mengejutkan penduduk itu berlaku pada 14 April lalu, jam 12.15 malam di Jalan Syed Mahadi.

Palong besar yang menuju ke arah sungai berdekatan pecah kerana tidak mampu menampung air yang mengalir akibat tersumbat dengan sampah-sarap yang terlalu banyak.

Apabila palong itu pecah menyebabkan air menyerap ke dalam tanah hingga berlaku mendapan tanah dan banjir lumpur di sekitarnya.

Bagaimana pun, setelah diperiksa oleh jurutera bertauliah hanya lima buah rumah yang didapati tidak selamat didiami kerana tanah mendap.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali telah mengadakan lawatan ke tempat kejadian dan ke dewan yang menempatkan mangsa untuk memberi bantuan dan bertanya kabar.

Dalam terjahan dan santunannya terhadap mangsa, beliau meminta mereka bersabar dengan ujian Allah swt yang tidak terduga itu.

Beliau berjanji akan cuba membantu seberapa daya yang boleh bagi meringankan bebanan mereka selain mendapatkan bantuan pihak berwajib menyelesaikan masalah mereka.

Katanya kepada Harakah, jika perkara ini mengambil masa yang terlalu panjang, beliau akan mengusahakan agar semua mangsa yang terlibat di tempatkan di kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) khas untuk mangsa bencana alam.

Lo' Lo' juga akan meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membaik pulih dan menambahbaikan saliran yang ada agar kejadian yang sama tidak berulang pada masa depan.

Menurutnya, kejadian banjir kilat sering berlaku di kawasan Kampung Baru akibat hujan yang terlalu lebat.

Satu lubang besar dan sebahagian jalan raya merekah di tempat kejadian, boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Menurut Inspektor Zainudin Abdullah dari Unit Skuad Penyelamat DBKL, seramai 209 mangsa terlibat dalam kejadian itu dan mereka semua telah diarahkan berpindah buat sementara waktu sehingga keadaan benar-benar selamat.

Namun, katanya ada penghuni yang telibat kembali semula ke rumah mereka bagi menyelamatkan barang-barang mereka.

Antara agensi yang terlibat dalam operasi menyelamat ini ialah Polis, Unit Skuad Penyelamat DBKL, Syabas, Jabatan Saliran Bandaraya, Jabatan Kerja Awam Bandaraya, Jabatan Keselamatan dan Penguatkuasa.

Menurut Zainuddin, tindakan yang akan diambil oleh DBKL ialah membaik pulih tanah dan palong yang pecah serta menimbus lubang besar yang ada.

Sementara itu, seorang mangsa, Marinah Omar, 33, ketika menceritakan kejadian yang berlaku berkata, anaknya memberitahu rumah telah di masuki air ketika hujan lebat pada malam itu.

Katanya, banjir yang berlaku agak luar biasa kerana air bermula dari tengah rumah dan bukan seperti kebiasaan dari tepi masuk ke tengah.

Banjir itu turut membawa lumpur dan pasir dan kelihatan jalan merekah di luar rumahnya, kata beliau kepada Harakah.

Marinah yang merasakan keadaan tidak selamat akhirnya mengambil keputusan untuk keluar dari rumah bersama keluarganya, bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Kemudian, katanya lagi, pihak yang berwajib datang bagi memberi bantuan dan mereka telah memeriksa tanah di kawasan rumahnya dan didapati tidak selamat kerana tanah jerlus di bawah bangunan rumah.

Beliau, suami dan tiga anak serta adiknya kini terpaksa menumpang di dewan sementara yang menempatkan mangsa kejadian.

Tiada ulasan: