Ahad, 3 April 2011

Deklarasi Klang Bantah Pembinaan Loji Nuklear

TVS NEWS


PELABUHAN KLANG : Polis mengenakan sekatan jalan untuk menghalang sebuah majlis tunjuk perasaan aman anjuran Pakatan Rakyat bagi membantah rancangan Kerajaan Persekutuan membina loji nuklear RM22 bilion di Pulau Ketam Selangor.

Kekangan polis itu bagaimanapun gagal menghalang Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan puluhan orang lain untuk berkumpul di sebuah dewan orang ramai bagi meluahkan bantahan mereka terhadap projek loji itu yang mencetuskan keresahan orang ramai.

"Kami, rakyat Malaysia yang hari ini berkumpul di Klang, mendesak Kerajaan Pusat membatalkan rancangan pembinaan loji nuklear di negeri ini khususnya di Klang. Kami percaya loji nuklear tidak selamat seperti di Fukushima, Jepun dan memberi impak kepada kesihatan rakyat adalah serius," kata Charles, membacakan apa yang dikenali sebagai Deklarasi Klang.

"Kami cadang kerajaan beri fokus kepada tenaga boleh baru untuk tampung keperluan tenaga negara dan kami tak percaya propaganda kerajaan Pusat bahawa tenaga nuklear adalah bersih, efisien dan selamat. Dan akhir kami minta kerajaan Pakatan Rakyat Selangor tidak membenarkan pembinaan loji di Selangor," terang Charles, membaca deklarasi itu dihadapan wakil media.

Sejak awal pagi, kira-kira 100 anggota polis mengadakan kawalan ketat di sekitar jeti Pulau Ketam bagi menghalang tunjuk perasaan itu yang mendapat sokongan pelbagai parti politik dan pertubuhan alam sekitar.

Penganjur kemudian mengambil keputusan untuk mengalihkan majlis ke sebuah dewan orang ramai yang berhampiran.

Menurut Charles, kerajaan Barisan Nasional hanya akan membazirkan wang rakyat jika meneruskan pembinaan loji nuklear berkenaan.

"Rancangan kerajaan sekarang ialah pada tahun 2021 dan 2022 ialah untuk bina loji nuklear di Malaysia. dan loji itu termasuk dalam program ekonomi kita," kata Charles. ""Kosnya RM 22 Billion, tapi ikut masa, mungkin naik ke RM 50 Billion," tambah beliau.

Tindakan polis pagi tadi menyebabkan ramai pihak dapat menyertai perhimpunan ini untuk meluahkan rasa kesal terhadap projek loji nuklear berkenaan.

Sejak awal pagi lagi, sekatan dilakukan di jalan masuk Jeti ini manakala mereka ingin melaluinya disoal serta digalakkan polis untuk meninggalkan kawasan berkenaan.

Charles dan hadirin lain dihalau sebanyak dua kali dari kawasan jeti Pulau Ketam oleh polis sebelum mereka berkumpul di sebuah Dewan milik Majlis Perbandaran Klang untuk meneruskan protes.

Charles menganggap provokasi polis itu sebagai memalukan kerana hak rakyat untuk bersuara dinafikan.

"Rakyat tak diberi peluang hak berhimpun secara aman. Walaupun ia menjadi hak yang diberi Perlembagaan Malaysia tapi Polis Di Raja Malaysia yang sekarang ini seperti Raja Malaysia.

"Ini merupakan sesuatu yang memalukan. Kalau (loji nuklear) ada masalah, pejabat polis kena, anak-anak mereka kena. Jadi mereka patut bersama-sama kita dan bukan menentang hak kita," tambahnya lagi.

Tiada ulasan: