Jumaat, 1 April 2011

Calon Bebas Punya 30 Pilihan Simbol

BERNAMA

KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menambah 16 simbol lagi untuk digunakan calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak kali ke-10 pada 16 April ini.

Pengarah Akademi Pilihan Raya SPR Abdullah Jusoh berkata pertambahan simbol itu menjadikan 30 simbol boleh digunakan pada kali ini berbanding hanya 14 simbol pada pilihan raya negeri 2006.

Tindakan menambah jumlah simbol ini kerana dijangkakan calon bebas yang bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini bertambah, katanya semasa menyampaikan taklimat "Pengurusan Pilihan Raya dan Peranan Media Semasa Pilihan Raya" di sini, Jumaat.

Abdullah berkata dengan mewujudkan lebih banyak simbol, ia dapat memastikan tiada calon bebas menggunakan simbol yang sama ketika bertanding di sesebuah kawasan DUN atau Parlimen.

Antara simbol yang boleh digunakan kali ini ialah gajah dan udang serta simbol lain antaranya kereta, kapal terbang, pokok dan gelas, katanya.

Abdullah berkata calon bebas hanya boleh menggunakan simbol yang disediakan dan dibenarkan SPR itu.

Beliau berkata jika ada lebih daripada seorang calon bebas yang mahukan simbol yang sama, SPR akan mengadakan undian bagi menentukan siapakah yang berhak menggunakan simbol berkenaan.

Beliau berkata setakat ini terdapat 31 parti politik di seluruh negara mendaftarkan simbol dengan SPR termasuk yang terbaru Parti Cinta Malaysia (PCM)yang diketuai oleh Tang Weng Chew.

Pada pilihan raya negeri 2006 seramai 16 calon bebas bertanding, dengan seorang calon berkenaan menang di kerusi DUN Ngemah iaitu Gabriel Adit Demong, yang merupakan penyandang kerusi itu.

Gabriel kini merupakan anggota PCM dan pada pilihan raya negeri 2001 Gabriel bertanding atas tiket Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tiada ulasan: