Ramai rakyat Malaysia sekarang ini sangat berminat dengan skim pelaburan atau perniagaan MLM dan bisnes online.
Saya berterus terang, bahawa saya kurang arif dalam masalah Muamalah dalam Islam dan saya bukan selayaknya untuk menjawab persoalan yang berkaitan dengan bisnes online ini.
Yang selayaknya adalah seperti Ustaz Zaharuddin yang alim dalam bidang muamalah Islam dan dia banyak menghasilkan buku-buku yang berkaitan dengan muamalah Islam dan boleh dapatkan di pasaran.
Dalam artikel ini saya hanya berikan sedikit sebanyak sahaja yang saya tahu dengan muamalah Islam hasil belajar di sekolah, buku-buku yang dibaca dan university ketika dahulu.
Untuk menyertai apa-apa bisnes sekalipun, perlu mengikuti prinsip (Klik Sini), ciri-ciri (Klik Sini) dan syarat yang telah diletakkan Islam seperti penjual, pembeli, barang dan akad. Jadi bagi sesiapa yang hendak menyertai skim bisnes online atau MLM anda perlu kenal dahulu penjualnya atau syarikat tersebut, kalau boleh cuba ziarahi syarikat tersebut supaya alamat yang ditulis dalam website mereka adalah betul dan bukan pembohongan.
Jangan mudah percaya dengan apa yang diceritakan di dalam website mereka, kerana strategi bisnes tidak akan menceritakan apa-apa kelemahan yang dihadapi di dalam bisnes mereka.
Pastikan juga syarikat tersebut benar-benar berdaftar dengan pihak berkuasa seperti SSM, Jabatan Kewangan dan banyak lagi. Ini penting sebagai tindakan berjaga-jaga daripada anda tertipu nanti.
Realiti yang berlaku, ramai yang menyertai skim MLM syarikat tersebut selama beberapa bulan, tiba-tiba bulan seterusnya syarikat tersebut gulung tikar entah kemana dan duit yang dilaburkan lesap tanpa dikesan.
Setelah anda berpuas hati dengan latar belakang syarikat tersebut, maka anda bolehlah semak cara perniagaan mereka, adakah tawaran mereka mempunyai surat hitam putih sebagai bukti bayaran? Bagaimana pulangan hasil keuntungan syarikat? Adakah pihak syarikat membuat janji-janji yang tidak masuk akal atau janji-janji pulangan akan diberikan sekian-sekian pada setiap bulan atau sebagainya.
Anda perlu pastikan bahawa syarikat tersebut mempunyai produk yang dijual atau hanya habuk sahaja. Islam sangat melarang perniagaan yang tidak jelas dan samar-samar, kerana dikuatiri ada unsur riba di situ.
Kebanyakkan syarikat perniagaan online ini hanya mengambil bayaran sahaja dan tiada produk yang dijual. Islam mengharamkan bagi sesiapa yang melaksanakan atau menyertai perniagaan yang belum memulakan perniagaan sudah menjanjikan pulangan sekian banyak pada setiap bulan.
Orang yang menyertainya hanya semata-mata ingin memperolehi keuntungan sahaja dan tidak ambil kisah tentang produk tersebut. Ini sangat dilarang dalam Islam, kerana secara logiknya mana akan berlaku perniagaan dan penjualan kalau tiada produk, maka jual beli tersebut tidak sah. Sebagai pembeli, anda perlu berjaga-jaga dan jangan terpedaya dengan kemewahan yang dijanjikan oleh syarikat tersebut.
Mengikut Mazhab Syafie setiap transaksi berlaku antara penjual dan pembeli wajib mempunyai akad yang menandakan bahawa barang itu terjual. Contohnya saya membeli barang dan wajib melafazkan akad “saya beli barang ini” dan penjual juga berkata “saya jual barang ini”.
Masalah dalam bisnes online, semua pembayaran berlaku secara online dan tiada akad lafaz yang boleh dibuat antara penjual dan pembeli. Dalam hal ini ada pendapat yang mengatakan bahawa cukup dengan akad mafhum iaitu akad faham-faham antara penjual dan pembeli.
Harus anda ingat setiap kali melakukan pembayaran secara online, simpan segala bukti pembayaran yang telah dilakukan sebagai bukti bayaran, ini penting kerana kalau berlaku apa-apa masalah dalam bayaran anda nanti, anda telah mempunyai bukti dan pihak syarikat tersebut boleh ambil tindakan yang sewajarnya.
Sepengetahuan saya dalam perniagaan MLM atau bisnes online ini, kebiasaannya syarikat mereka akan dianugerahkan sijil halal dari JAKIM sebagai bukti bahawa bisnes mereka mematuhi syarak.
Ini pernah saya lihat di dalam seminar HPA pada tahun 2008 yang lepas. Mereka juga mempunyai penasihat syariah sendiri untuk memantau segala perjalanan syarikat tersebut. Jika berlaku apa-apa keraguan, penasihat syariahnya akan memberi teguran dan menyelesaikan masalah tersebut mengikut apa yang ditetapkan dalam Muamalah Islam.
Ada syarikat yang hanya menggunakan nama mana-mana ustaz yang popular untuk memasarkan produk mereka tanpa diketahui oleh ustaz tersebut dengan mengatakan : “ustaz sekian yang pernah masuk TV dan radio menjadi duta syarikat, takkan makcik dan pakcik semua tak percaya bisnes kami”.
Sebagai penguna perlu berhati-hati, dunia sekarang ini banyak penipuan demi semata-mata mencari keuntungan yang tidak menghiraukan halal dan haram.
Saya rasa setakat ini dahulu perbahasan saya secara ringkas tentang skim perniagaan online ini, selagimana dia tidak bercanggah dengan prinsip syarak, maka selagi itulah dia boleh disertai.
Sekali lagi saya memohon maaf kerana tidak memasukkan dalil-dalil dari Al-Quran, Hadis dan pendapat ulamak di atas, sebab tiada masa untuk merujuknya. Artikel saya ini bertujuan untuk memberi faham kepada sesiapa yang rasa ragu-ragu dengan skim-skim perniagaan online ini dan selebihnya anda perlu merujuk kepada orang yang lebih arif dalam bidang ini.
Saya juga tidak berani mengeluarkan kenyataan yang khusus, kerana saya kurang tahu dan kurang mengkaji syarikat-syarikat bisnes online ini seperti HyProBulkSMS, Marhaban4u, Vemma, Ganda RM 10.00, Dapat Wang dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk menghindari dari berlakunya fitnah.
http://www.ustaznoramin.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan