Sabtu, 9 April 2011

'Berok naik nyioq’ nak alih isu UMNO songlap RM7 juta

Oleh kedahla.blogspot.com/

Persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah baru-baru ini hanya berlangsung kira-kira satu setengah jam. Hampir keseluruhan sidang diisi dengan para Exco Kerajaan Negeri menjawab soalan dari ahli-ahli Dewan. Selesai sidang, ADUN BN merungut di hadapan media kononnya kerajaan negeri tidak memberi masa yang panjang untuk mereka mengemukakan lebih banyak soalan.

BN hanya meludah ke langit dan tertimpa batang hidung sendiri. Tempoh masa bagi sidang DUN untuk pertengahan atau penghujung penggal di Kedah memang begitu sejak separuh abad lalu.

BN yang membuat peraturan itu dulu untuk menyekat pembangkang dari bertanya terlalu banyak soalan. Bila giliran mereka jadi pembangkang, rasailah pula peraturan yang mereka sendiri cipta dulu.

Media-media talibarut BN memfokuskan kepada isu ‘berok naik nyioq’ untuk membidas Menteri Besar kononnya menghina usaha BN membawa balik pelajar dari Mesir. Mereka cuma mahu mengalih isu.

Isu yang lebih besar dari ‘berok naik nyioq’ ialah pendedahan terperinci Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Amiruddin Hamzah berhubung penyelewengan kerajaan BN dulu menguruskan sebuah GLC iaitu Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC).

Beliau mendedahkan bagaimana STDC telah membelanjakan lebih RM8 juta untuk sumbangan, walhal RM7.5 juta tidak diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pelepasan cukai.

Akibatnya STDC terpaksa juga menjelaskan cukai sebanyak RM3.1 juta di samping denda atau penalti kira-kira RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan yang terpaksa dibayar oleh STDC di bawah kerajaan PR sekarang ialah sebanyak RM4.1 juta. Semua beban yang ditinggalkan oleh BN itu terpaksa dijelaskan oleh kerajaan kini.

Pendedahan Amiruddin benar-benar menyebabkan semua ADUN BN panas punggung. Belum habis sesi soal jawab, bekas CEO STDC Dato’ Syed Sobri Syed Hashim yang juga merupakan ADUN Kuala Nerang bergegas meninggalkan Dewan.

Saya pernah menulis beberapa kali perihal penyelewengan STDC menjelang pilihanraya umum ke 12 yang membelanjakan wang GLC tersebut kira-kira RM2 juta untuk tujuan politik BN. Tapi penemuan kali ini lebih mengejutkan kerana jumlah sebenar duit STDC yang ‘disedekahkan’ kepada BN, khususnya Umno adalah jauh lebih besar.

Laporan pihak Audit berhubung perbelanjaan tidak wajar dan bayaran yang dibuat tanpa sokongan dokumen sepatutnya cukup banyak. Antaranya ialah sumbangan terhadap Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap - RM10 ribu (23.01.2007), lawatan Pemuda Umno ke Indonesia - RM10 ribu (14.03.07), lawatan Puteri Umno ke Indonesia – RM5 ribu (18.03.07), sumbangan kepada Umno Kedah – RM200 ribu (19.04.07), sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok – RM5 ribu (13.05.07), sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap – RM4 ribu (22.05.07), sumbangan kepada Umno Cawangan Padang Kerasak Naka – RM5 ribu (30.05.07) dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM26,150.00 (01.01.08).

Seterusnya ialah pemasangan billboard untum mesyuarat perwakilan Umno Padang Terap – RM10 ribu (01.01.08), sewa khemah dan meja bulat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahgian Padang Terap – RM10 ribu (16.01.08), membekal kain tudung kepada ahli Puteri Umno – RM20 ribu (03.02.08) dan makan minum untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM21,700.00 (15.02.08).

Menteri Besar masa itu Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan wang STDC untuk menerbitkan kalendar peribadi beliau yang diberi percuma kepada rakyat dengan kos RM80 ribu (06.12.07 & 20.02.08). Banyak lagi pembayaran yang disifatkan oleh Audit sebagai ‘tidak berkepentingan dan tidak berkaitan dengan aktiviti dan objektif penubuhan STDC’ namun tidak mungkin disiarkan sepenuhnya dalam ruangan yang terhad ini.

STDC yang ditinggalkan kepada kerajaan PR adalah sebuah syarikat bermasalah, banyak hutang dan gawat. Namun kebijaksanaan pentadbiran baru berjaya memulihkan syarikat tersebut sekalipun terbeban dengan hutang-hutang yang ditinggalkan.

Pada 2007 STDC mengalami kerugian sebanyak RM2.56 juta, manakala pada 2008 kerugiannya ialah sebanyak RM144,467.00. Kerugian tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada pengurusan baru kerana mereka mengambilalih selepas tiga bulan tahun 2008. Pada tahun 2009 keuntungan STDC ialah RM333,978.00 dan tahun 2010 keuntungan sebanyak RM826,110.44.

Satu lagi perkara menarik ialah jumlah emolument untuk ahli-ahli lembaga pengarah. Di masa BN, emolument untuk ahli lembaga pengarah ialah RM125,200 (2006) dan RM251,800 (2007). Bagi tahun 2008 antara Januari hingga Mac sahaja, emolument yang diberi ialah sebanyak RM50,900. Bagi mereka untung atau rugi bukan persoalan, yang penting SDTC seolah-olah dijadikan tempat mengaut kekayaan.

Ia berbeza sama sekali dengan emolument yang diterima ahli lembaga pengarah di zaman PR. Pada tahun 2009 ahli lembaga pengarah hanya menerima keseluruhan RM53,500 manakala bagi tahun 2010 cuma RM8,000.

Semua catatan yang dibuat adalah berdasarkan fakta hitam putih (bukan video hitam putih). Ia bukan rekaan macam video seks bikinan Datuk Trio. Sebab itu apabila Dato’ Amiruddin membentangkan di Sidang DUN, semua ADUN BN tidak dapat menyanggah. Semua media talibarut BN tidak mengungkapkan walaupun sepatah perihal penyelewengan pengurusan GLC di zamam BN itu.

Sekarang terserah kepada jentera penerangan parti untuk menjadikan isu ‘Skandal RM7 juta’ itu sebagai modal dan peluru untuk terus mengasak BN Kedah hingga rapat ke di dinding. Biar mereka rasakan pula asakan kita selepas ini.

Tiada ulasan: