Rabu, 20 April 2011

Benjy sakit, bicara ditangguh esok

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy, yang menghadapi dua pertuduhan memiliki dadah pada Mac tahun lalu, ditangguh sehingga esok selepas pelakon itu tidak hadir ke mahkamah kerana mengalami masalah kesihatan.

Majistret Hafizza Sauni menangguhkan perbicaraan itu selepas peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Benjy memberitahu mahkamah, anak guamnya itu dimasukkan ke Hospital Pakar Damansara petang semalam.

Bagaimanapun, Amer berkata, pihaknya tiada masalah sekiranya pihak pendakwaan masih ingin meneruskan prosiding tanpa mengemukakan saksi-saksi utama dalam kes itu.
Amer turut merayu kepada mahkamah agar dapat memberi pengecualian kepada anak guamnya untuk tidak hadir ke mahkamah pada prosiding akan datang.

"Saya dimaklumkan oleh Benjy yang mengesahkan bahawa dia dimasukkan ke hospital berkenaan berikutan mengalami masalah pernafasan dan tidak boleh hadir ke mahkamah," katanya.

Mahkamah yang sebelum ini menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula semalam kemudian menangguhkannya sehingga esok bagi melihat perkembangan kesihatan tertuduh.

Benjy, 33, yang dibebaskan daripada Pusat Pemulihan Akhlak, Muar, Johor pada 25 Mac tahun lalu, didakwa memiliki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram di sebuah rumah di Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut di sini, pada jam 4 petang 11 Mac tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 0.14 gram dadah di Vista Mutiara Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini, pada jam 3 petang hari yang sama.

Pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman sehingga penjara lima tahun, atau denda RM100,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: