Khamis, 28 April 2011

Anwar beri keterangan, enggan sumpah laknat

Beliau tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 2.40 petang tadi diiringi tiga buah kereta yang dipenuhi keluarga serta pemimpin PKR.



KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hadir memberi keterangan berhubung isu video seks yang didakwa dikaitkan dengan dirinya.

Anwar tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira 2.40 petang tadi diiringi tiga buah kereta yang dipenuhi keluarga serta pemimpin PKR.

Turut hadir menemani Anwar, isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, anak sulungnya Nurul Izzah, Pengarah Biro Komunikasi Nik Nazmi Nik Ahmad.

Turut hadir Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, dan peguam mewakili Anwar yang juga Ahli Parlimen PKR Subang R Sivarasa.

Anwar hadir memberi keterangan kali kedua kepada polis berkenaan siasatan video lucah yang ditayangkan kepada media di Carcosa Seri Negara 21 Mac lalu. Keterangan pertama diberikannya pada 22 Mac lalu.

Selepas kira-kira sejam selesai memberikan keterangan, Anwar ketika ditemui pemberita berkata beliau turut membuat laporan polis berhubung klip video seks kedua berdurasi 1minit 47 saat yang disebarkan semalam melalui beberapa blog dan You Tube yang bertajuk “Papa Nurul Izzah Part II”.

Beliau menegaskan, “pengedaran video lucah secara terangan dan saya percaya polis memberikan perlindungan kepada penyebarnya.

“Jika tidak mustahil bab kedua boleh disebarkan tanpa apa-apa tindakan…..saya dah maklumkan kepada pihak polis…… ini adalah satu jenayah penyebaran bahan lucah diadakan tanpa apa-apa rasa tekanan polis,” katanya.

Selain itu, beliau turut membuat laporan polis berhubung ugutan salah seorang trio ‘Datuk T’ Datuk Shazryl Eskay Abdullah yang mengugut dirinya dan Azizah supaya mengundurkan diri daripada dunia politik jika tidak mahu video seks tersebut disebarkan.

“Motif politik umno ini memang jelas ada…..ternyata Umno dan pemimpinnya (Datuk Seri) Najib Tun Razak harus menjawab kenapa jenayah dan porno menjadi strateginya untuk mempertahankan kuasa termasuk menggunakan akhbar Utusan dan blog Agenda Daily menjadi perkakas menyebarkan fitnah, menghina, dan mencalarkan maruah keluarga,” katanya.

Anwar enggan sumpah laknat

Sementara itu, ketika ditanya tentang cabaran Eskay supaya bersama-sama hadir untuk bersumpah laknat di Masjid Amru Al Ash, Bandar Baru Sentul esok, Anwar bertegas enggan melakukannya memandangkan mengikut hukum syariah, seseorang yang mengangkat sumpah mubahalah harus bebas daripada dosa besar iaitu tidak pernah minum arak dan berzina.

Namun Anwar kelihatan berang apabila menerima soalan bertubi-tubi daripada wartawan termasuk mempersoalkan kesediaannya untuk memberikan sampel DNA kepada polis seperti yang dilakukan Eskay semalam serta misteri jam tangan Omega miliknya.

“DNA apa yang perlu saya beri? Kenapa saya perlu bersumpah? Saudari orang Islam? Sekarang saya tanya saudari ikut hukum mana yang saya perlu bersumpah? Tak boleh jawab bukan?,” soalnya sebelum meninggalkan perkarangan IPD Dang Wangi.

Sementara itu, Sivarasa ketika ditemui berkata, pegawai penyiasat DSP Shanmugamoorthy telah menyoal siasat Anwar sepanjang keterangan diberikan manakala ASP Asrul merekodkan kenyataan beliau.

Katanya, sepanjang sesi soal siasat wujud beberapa soalan yang tidak relevan ditanya polis kepada Anwar dan dakwanya soalan tersebut kemungkinan ‘sudah dirancang’ pihak tertentu untuk memerangkap dan mengenakan Anwar.

“Ada beberapa soalan yang tidak berkenaan Anwar tidak jawab kerana tidak perlu. Apa soalan yang ditanyakan itu kita tak boleh dedahkan kerana ia masih dibawah siasatan polis,” katanya yang tidak pasti sama ada polis akan memanggil Anwar sekali lagi untuk memberikan keterangan lanjut.

Sementara itu, PKR dijangka akan mengadakan sidang media esok berhubung klip video seks kedua yang disebarkan di ibu pejabat PKR di Tropicana Petaling Jaya 12 tengahari esok.

Tiada ulasan: