Isnin, 18 April 2011

AELB nafi beri Lynas permit simpan sisa buangan di loji


KUALA LUMPUR— Pengawal selia tenaga nuklear negara menafikan telah meluluskan rancangan Lynas Corporation untuk menyimpan sisa buangan radioaktif lojinya di Gebeng dekat Kuantan sambil menegaskan, syarikat Australia itu tidak akan dibenar menyimpan ratusan tan meskipun ia masih menganggapnya selamat.

Lynas telah melabur RM700 juta bagi mendirikan loji pemprosesan nadir bumi, yang akan beroperasi akhir tahun ini.

“Simpanan di kawasan loji tidak akan menjadi penyelesaian terakhir,” kata Ketua Pengarah Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB), Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan kepada The Malaysian Insider.

Dalam temu bual khas itu, kawasan simpanan dalam loji yang telah diluluskan, yang bertujuan memudahkan kerja-kerja pemprosesan, adalah sebagai “kawasan sementara untuk menyimpan sisa buangan.”

Baru-baru ini Lynas memberitahu The Malaysian Insider bahawa ia tetap dengan pendiriannya mahu meneruskan operasi pemprosesan nadir bumi di Gebeng dengan kemudahan simpanan jika pelan untuk mengitar semula sisa radioaktifnya tidak dimuktamadkan.

Lynas memberi jaminan kepada pengkritik bahawa lombong Mount Weld di Australia adalah salah satu daripada tiga kawasan yang unik dengan simpanan nadir bumi yang rendah tahap radiasi dan tidak sewajarnya dibandingkan dengan loji Bukit Merah yang sedang melalui kerja-kerja pembersihan menelan kos RM303 juta sejak dua dekad lalu selepas ia ditutup.

“Kami mempunyai kebenaran (daripada kerajaan) untuk simpan di kawasan loji sendiri, buat selama-lamanya,” kata Pengerusi Eksekutifnya Nicholas Curtis.

Curtis memberitahu empangan simpanan yang khas boleh menerima sisa buangan selama enam tahun dan pendedahannya kepada rakyat adalah “sifar.”

“Dua pertiga atau lebih adalah gipsum. Tiada isu bahawa ia digunakan sebagai papan plaster dan pasaran-pasaran lain. Malaysia adalah pengimport gipsum, jadi sudah pasti kami akan menggunakannya untuk kuantiti komersial. Jadi ini akan meningkatkan (kapasiti) simpanan (sisa radioaktif) kami sehingga 24 tahun,” kata beliau.

“Kami tidak akan membenarkan (ia) menambah sehingga ke tahap itu. Kami akan menghentikan. Mereka tidak boleh terus menambah (simpanan). Perlu ada proses yang seiringan,” kata Raja Aziz lagi.

Raja Aziz berkata, Lynas perlu membuktikan bahawa ia boleh mengalihkan torium keluar dari kawasan lojinya dengan cara yang selamat ketika tempoh praoperasi yang selama tiga tahun akan datang.

Jika syarikat itu gagal berbuat demikian, kata beliau, ia tidak akan diberikan lesen operasi sepenuhnya.

“Daripada pengalaman ARE, publik tidak akan membenarkan kerja-kerja menambah torium secara berterusan.

“Itu sebabnya apabila Lynas mengemukakan permohonan, kami memberitahu bahawa ia tidak lengkap. Jika anda tidak dapat mengalihkan sisa buangan, apa anda hendak lakukan? Ini sangat penting,” katanya.

“Kami akan bertanya pada mereka, apa akan jadi jika anda tidak dapat menjualnya? Jika sisa pembuangan terus bertambah, kami akan menghentikan pengimportan dan penambahan,” tambah beliau.

Awal bulan ini, beliau dipetik berkata, Lynas akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng melainkan loji pemprosesan juta itu gagal memenuhi keperluan keselamatan.

Ketika itu Abdul Aziz juga mengakui tiada satu keperluan keselamatan tetap berhubung aspek radiasi.

Sebaliknya kata beliau, paras torium dalam bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan akan dijadikan sebagai petunjuk.

“Perkara utama menjadi perhatian ialah sisa buangan,” kata beliau merujuk kepada elemen radioaktif yang ditemui dalam semua lapisan nadir bumi.

Malah ketika itu juga, Raja Aziz juga memberitahu pemberita bahawa Lynas harus berpegang kepada 500 ppm torium dalam bahan buangan dan jika tidak akan diminta menutup operasinya.

Pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat-wakil rakyat membantah operasi loji atas alasan bimbang dengan risiko bahaya radiasi.

Kebimbangan itu meningkat selepas krisis loji tenaga nuklear ekoran bencana berganda tsunami dan gempa bumi di Jepun bulan lalu.

Lynas secara berulang kali mengatakan bahawa nadir bumi yang pihaknya gunakan hanya mempunyai 1,600 ppm torium iaitu 50 kali lebih rendah berbanding bahan mentah yang digunakan di Bukit Merah.

Tiada ulasan: