Rabu, 13 April 2011

31 Mei Sebutan Semula Pembatalan Kes Adun Sri Muda

Ditulis oleh Shakira Buang



SHAH ALAM : Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 31 Mei ini bagi sebutan semula bagi membatalkan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Shuhaimi melalui kenyataan medianya berkata, Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah dan Timbalan Pendakwa Raya, Tuan Ishak yang hadir bagi pihak pendakwa semalam memutuskan tarikh baru sebutan semula itu kerana pihak pendakwa memerlukan masa bagi menjawab afidavit yang difailkan beliau pada 1 April lalu.

Shuhaimi yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad hadir di mahkamah bagi kes sebutan membatalkan pendakwaan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut Shuhaimi, beliau mempunyai alasan kukuh untuk membatalkan pendakwaan tersebut.

“Akta Hasutan adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan dan pihak pendakwaan berniat jahat kerana terdapat “selective prosecution” ia jelas lagi nyata,” katanya.

Shuhaimi didakwa menerbitkan artikel bertajuk “Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959″ yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, 30 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama dengan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Kenyataan Shuhaimi menerusi laman blognya mengundang kontroversi yang didakwa mempertikai keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.

Tiada ulasan: