Isnin, 25 April 2011

3 tuntutan kepada pemegang mandat kerajaan Sarawak

MERDEKA REVIEW


Hari ini tepat sembilan hari selepas keputusan pilihanraya negeri Sarawak yang berlangsung pada 16 April 2011. Walau pilihan rakyat dicemari dengan insiden-insiden penipuan dan kelemahan proses pilihanraya oleh Badan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, saya mengakui dan menghormati kemenangan 100% yang diraih oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Justeru, demi memastikan kesinambungan berterusan antara manifesto Pakatan Rakyat dan juga usaha merealisasikan janji-janji kami, saya kemukakan tiga tuntutan untuk dipenuhi Ketua Menteri negeri Sarawak, Taib Mahmud (gambar kanan) menerusi sepucuk surat yang dihantar pagi tadi.

Permohonan saya termasuk:

Pertama, saranan supaya peluang melaksanakan mandat yang diberikan tidak disia-siakan menerusi tuntutan yang dibuat oleh Taib Mahmud sebagai Ketua Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan - pihak yang bertanggungjawab dalam memansuhkan Pengisytiharan Darurat Sarawak 1966.

Pada 24 Mac 2011, saya telah menyerahkan usul persendirian berjudul Akta Pemansuhan Darurat selaku Ahli Dewan Rakyat untuk bukan sahaja menamatkan era darurat di Sarawak, tetapi juga di seluruh negara Malaysia. Malangnya, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nazri Aziz bersetuju dan mengakui kesediaan Peguam Negara untuk menarik balik Pengisytiharan Darurat, kerajaan pusat masih lagi degil dan belum bersedia untuk memansuhkannya.

Bukan sahaja kerajaan pusat belum bersedia, usul persendirian mana-mana Ahli Dewan Rakyat akan ditolak oleh Speaker Dewan.

Kedua, saranan kepada Ketua Kerajaan Negeri, Taib Mahmud menuntut kembali hak rakyat Sarawak dengan memastikan Lapan Belas Perkara Perjanjian Malaysia ditunaikan sepenuhnya.

Ketiga, saranan kepada Ketua Kerajaan Negeri, Taib Mahmud menuntut kenaikan royalti minyak 20% untuk kepentingan rakyat negeri Sarawak supaya kekayaan hasil bumi di Sarawak dapat disalurkan kepada rakyat Sarawak.

Kesemua tuntutan ini dibuat seiringan dengan usaha memastikan kerajaan negeri yang baru mendapat mandat rakyat Sarawak bertindak membuktikan komitmen serta keikhlasan mereka dalam memastikan hak dan keperluan rakyat didahulukan, mendahului kepentingan mana-mana pimpinan politik

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku ahli parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Tiada ulasan: