Rabu, 27 April 2011

10 jari dekat stesen KTM milik bekas banduan, ditetak

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Sepuluh jari yang ditemui dalam sebuah beg plastik berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTMB) di Kuang dekat Rawang kelmarin adalah milik seorang bekas banduan yang baru dibebaskan baru-baru ini.

Bekas banduan yang berumur 29 tahun itu kini dirawat di Hospital Sungai Buloh ekoran kejadian itu dan keadaannya dilapor stabil.

Adik lelaki berkenaan yang enggan dikenali ketika ditemui di hospital itu percaya jari yang ditemui itu milik abangnya setelah abangnya ditetak hujung minggu lalu.

“Kami tidak tahu apa motif kejadian ini dan dia (mangsa) tidak mahu bercerita mengenai kejadian tetak itu,” katanya dipetik laporan Bernama Online.

Beliau berkata abangnya baru keluar penjara selepas sebulan dipenjarakan dan pada masa ini tidak mempunyai pekerjaan.

Kelmarin, seorang pekerja KTMB yang memeriksa trek kereta api terkejut apabila menemui 10 jari manusia dalam sebuah beg plastik.

Turut ditemui dalam beg plastik itu ialah pita pelekat berwarna hijau manakala sehelai baju berwarna hitam berbelang putih serta seluar panjang hitam ditemui berhampiran beg plastik itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Rahim Abdullah ketika dihubungi Bernama memberitahu, pihaknya menahan seorang individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes itu.

“Kami kini sedang mengesan individu-individu lain untuk membantu siasatan,” katanya yang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Rahim berkata suspek, seorang pemandu teksi, kini ditahan reman sehingga 2 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata suspek ditahan selepas polis melihat teksi yang dipandu lelaki itu dalam keadaan mencurigakan di satu kawasan yang enggan didedahkan.

Pemeriksaan terhadap kenderaan itu mendapati ada kesan darah di pintu belakang sebelah kiri, katanya.

Turut ditemui pita pelekat berwarna hijau di but kereta itu yang dipercayai digunakan untuk menutup mata mangsa.

Rahim berkata polis sedang memburu dua lagi rakan suspek yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian itu.

Tiada ulasan: