Ahad, 17 Oktober 2010

Umno Terengganu bebas krisis, isytihar Hisham dan MB

BERNAMA

KUALA TERENGGANU – Umpama “biduk lalu, kiambang bertaut,” itulah ungkapan yang digunakan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said bagi menggambarkan hubungan pemimpin Umno di negeri itu ketika ini.

Beliau berkata semangat perpaduan di kalangan golongan terbabit semakin pulih dan dirasai, termasuk wakil rakyat dan pemimpin parti apabila terdapat kesungguhan untuk bersatu, walaupun hubungan di antara mereka sebelum ini agak tegang.

“Saya harap masalah dulu dapat dilupakan. Bak kata orang, biduk lalu, kiambang bertaut. Kita sebagai pemimpin dan orang politik, perlu berjiwa besar.

“Jangan mudah berkecil hati, berasa hati atau berjauh hati, dan dalam masa yang sama, kita perlu berhati-hati,” katanya kepada pemberita selepas menutup Konvensyen Terengganu 2010 hari ini.

Konvensyen yang dirasmikan Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein pagi tadi, disertai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin sayap parti serta jemputan khas.

Ahmad berkata konvensyen yang pertama kali diadakan di Terengganu sejak pilihan raya umum 2008 itu, boleh dijadikan sebagai persediaan Umno negeri bagi mengikuti pemilihan parti di Kuala Lumpur Selasa depan, dan bekalan ketika menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya amat berpuas hati dengan persiapan dan resolusi yang dikemukakan perwakilan dari bahagian-bahagian yang bertujuan untuk mengukuhkan perjalanan dan kepimpinan Umno di Terengganu.

“Saya harap pemimpin di Terengganu, khususnya wakil rakyat, menjadikan harapan perwakilan ini sebagai, dan peluang untuk, muhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing,” katanya.

Sementara itu, sebanyak 19 resolusi dicapai dalam konvensyen yang bertujuan memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Selain itu, satu deklarasi, dinamakan Deklarasi Primula 2010, turut diputuskan serta diserahkan kepada Ahmad dan Hishammuddin, yang merupakan pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Konvensyen Terengganu 2010 yang diadakan hari ini memberi gambaran jelas bahawa Umno Terengganu yang sebelum ini menghadapi masalah dalaman, kini semakin pulih.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu berkata konvensyen yang bertujuan membincangkan hala tuju dan masa depan parti membuktikan kesepakatan di kalangan pemimpin Umno negeri itu semakin utuh.

“Tidak dinafikan berlaku perselisihan, salah faham dan masalah dalam parti sebelum ini, namun ia tidak kritikal seperti yang digembar-gemburkan.

“Ia berlaku di mana-mana. Setidak-tidaknya kita tidak bertumbuk atau membaling kerusi, macam yang kita lihat dalam mesyuarat cabang PKR (Parti Keadilan Rakyat),” katanya kepada pemberita.

Mengulas mengenai masalah dalaman yang melanda Umno Terengganu sebelum ini, Hishammuddin berkata keadaan kini sudah banyak berbeza berbanding setahun yang lalu ketika masalah memuncak.

“Dalam Umno, pendokongnya akan tetap bersatu terutama dalam menentukan hala tuju parti atau dalam perkara yang berkaitan dengan masa depan parti.

“Dalam sejarah Umno sebelum ini pun pernah kita melalui detik-detik cemas yang lebih kritikal dan selalunya kita keluar dalam ujian dalam keadaan parti lebih kuat dan matang,” katanya.

Beliau juga berkata konvensyen khas yang julung kali diadakan itu turut bertujuan memantapkan hala tuju serta meningkatkan prestasi pentadbiran kerajaan negeri yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) dan Umno khususnya.

“Ia akan dijadikan asas persiapan awal Umno Terengganu menghadiri Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera, Kuala Lumpur Khamis ini,” katanya.

Hishammuddin yang dilantik mempengerusikan Jawatankuasa Usul pada Perhimpunan Agung Umno nanti berkata sebanyak tiga usul akan dibawa dan dibahaskan iaitu yang melibatkan usul ucapan dasar presiden, usul ekonomi serta usul agama dan pendidikan.

“Usul-usul ini antara lain menentukan hala tuju, harapan pucuk pimpinan dan harapan orang ramai terhadap Umno sendiri dan disesuaikan mengikut keadaan semasa dan selari dengan transformasi yang dibawa Presiden,” katanya.

Tiada ulasan: