Isnin, 25 Oktober 2010

Siapa bakal menang

SINAR HARIAN ONLINE

GUA MUSANG – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam, mengisytiharkan Abdul Aziz Yusoff, 49, sebagai calon yang diyakini dapat memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, 4 November ini.

Pada 21 Oktober lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengumumkan pengamal perubatan, Dr Zulkefli Mohamed, 44, sebagai calon mereka. Beliau tewas dua kali kepada Tengku Razaleigh Hamzah untuk kerusi Parlimen Gua Musang, pertama Pilihan Raya Umum (PRU) 2004, dikuti dengan PRU 2008.

Berdasarkan latar belakang itu, jentera kuat yang dipimpin Tengku Razaleigh sendiri dan strategi yang tersusun, BN percaya mereka dapat menang dengan majoriti besar.

Ini dikuatkan lagi dengan hakikat bahawa Abdul Aziz adalah anak tempatan dari Kampung Bertam Baru, di sini, seorang yang dianggap mempunyai kewibawaan dan pengalaman yang banyak dalam politik.

Pas yakin mereka telah memilih calon yang paling sesuai untuk Galas, berdasarkan kewibawaannya. Walaupun kalah untuk kerusi Parlimen, Dr Zulkefli dianggap terbaik, lebih-lebih berdasarkan kepada undi yang diterima pada PRU 2008.

Pada PRU itu, beliau mendapat majoriti undi 317, menewaskan Tengku Razaleigh bagi peti undi Galas, tetapi kalah di peti-peti undi lain.

Pada PRU 2004, Dr Zulkefli tewas kepada Tengku Razaleigh dengan majoriti 6,598 undi, namun pada PRU 2008 beliau berjaya menurunkan majoriti undi kepada 4,394 undi.

Kini Bekas Pengurus Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu dan Dr Zulkefli perlu bekerja keras untuk menjamin kemenangan di kawasan yang masih belum nampak condong ke pihak mana.

Apa pun, kedua-dua parti ini dilihat mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk menawan hati pengundi pada hari undi.

Tiada ulasan: