Isnin, 18 Oktober 2010

Rombongan pertama lebih 1,000 jemaah tiba di Mekah

BERNAMA

MEKAH— Rombongan pertama lebih 1,100 jemaah haji Malaysia selamat tiba di tanah suci Mekah awal pagi ini selepas menempuh perjalanan sejauh 400 kilometer yang mengambil masa tujuh jam.

Mereka berlepas dari Bir Ali (tempat berniat) di pinggir bandar Madinah kira-kira pukul 6.30 petang waktu tempatan (11.30 malam waktu Malaysia) dan tiba di hotel Janadriyah, kira-kira 800 meter dari Masjidil Haram.

Ketibaan mereka pukul 1.30 pagi waktu tempatan (6.30 pagi waktu Malaysia) disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia Musim 1431 Hijrah, Mohd Salleh Abdul Mubin, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Mohd Khalid Mohd Nordin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan petugas Tabung Haji di Mekah dan wakil mutawif Muassasah.

Jemaah diberi minum air zam-zam dan kemudian ditempatkan di tingkat enam hotel Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan pusat operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Mekah.

Selepas subuh kesemua jemaah dibawa menunaikan tawaf dan saie umrah oleh mutawif rasmi Muassasah.

Mohd Salleh berkata TH menyediakan guru agama dan program untuk membimbing bagi memantapkan lagi persediaan jemaah haji di Mekah menjelang hari wukuf 14 November ini.

Ini kali pertama TH membawa masuk serentak jemaah tiga penerbangan iaitu KT1, KT2 dan KT3 kerana sebelum ini tidak lebih dua KT dibawa masuk, katanya kepada pasukan media TH yang membuat liputan musim haji ini.

Malam tadi majlis bacaan yassin dan tahlil memohon Allah memudahkan operasi TH musim ini diadakan di Hotel Sevilla Barakat di sini, dan disusuli solat Maghrib dan sunat hajat.

Terdahulu, dalam ucapannya Mohd Salleh meminta petugas haji menjaga disiplin serta melayan setiap jemaah dengan mesra, memberikan maklumat tepat dan menangani isu semasa dengan berhemah bagi menjaga imej TH.

Beliau berkata TH juga sentiasa memperkemas prosedur mengikut perkembangan semasa di samping menjalankan audit dalaman bagi mengukur dan menilai perkhidmatan agensi itu.

Tiada ulasan: