Sabtu, 9 Oktober 2010

Rombongan Pertama Jemaah Haji Malaysia Selamat Tiba Di Madinah

BERNAMA

MADINAH: Rombongan pertama jemaah haji Malaysia seramai 340 orang selamat tiba di lapangan terbang antarabangsa Putera Mohamed Abdul Aziz di sini kira-kira pukul 7.02 pagi waktu tempatan (12.02 tengah hari waktu Malaysia).

Selesai urusan pemeriksaan imigresen dan kastam yang mengambil masa kira-kira satu setengah jam, mereka dibawa dengan bas ke hotel penginapan Anwar Al-Madinah Movenpick dan hotel Al-Haram berdekatan Masjid Nabawi di sini.

Ketibaan rombongan itu dari Kuala Lumpur di hotel Anwar Al Madinah kira-kira 8.17 pagi disambut Duta Malaysia ke Arab Saudi, Prof Madya Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al-Saggaf, Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji (TH) Datuk Ismee Ismail, Konsul Haji Malaysia di Jeddah, Khalid Nordin, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan ketuaMuassasah bagi Malaysia, Dr Yusof Ahmad Hawala.

Jemaah-jemaah tersebut kemudian bersarapan di hotel Anwar Al-Madinah sebelum berehat di bilik masing-masing.

"TH telah membuat persiapan sebaik mungkin untuk menyambut kira-kira 26,000 lagi jemaah haji Malaysia yang akan tiba dalam masa sebulan ini untuk mengerjakan rukun Islam kelima bagi tahun 1431 Hijrah ini.

"Segala persiapan yang diatur berjalan lancar.....marilah kita mendoakan semua urusan yang dirancang dipermudahkan Allah s.w.t," kata Ismee yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH kepada wartawan Malaysia selepas menyambut ketibaan jemaah tersebut. "Urusan imigresen dan kastam selesai dalam masa kira-kira satu setengah jam menunjukkan cara yang dibuat TH teratur dan berkesan. Kelewatan penerbangan dari KLIA selama satu jam adalah perkara biasa," katanya.

Jemaah sepatutnya berlepas dari KLIA pukul 1.30 pagi tetapi ditunda ke 2.40 pagi berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Ismee tiga penerbangan membawa jemaah haji Malaysia dijangka tiba di Madinah, Sabtu.

Katanya TH telah menempatkan seramai 100 orang petugas di Madinah dan Mekah untuk menjaga soal kesihatan dan kebajikan serta tempat tinggal jemaah pada masa ini dan jumlah itu akan ditambah berperingkat-peringkat.

Seramai lima petugas media terdiri daripada seorang wartawan Bernama dan masing-masing dua petugas dari Radio Televisyen Malaysia dan NTV7 turut hadir membuat liputan tahun ini dengan kerjasama TH.

Beliau berkata pada masa sekarang persiapan ditumpukan di Madinah kerana jemaah haji Malaysia akan berkumpul di sini sebelum bertolak memasuki kota Mekah untuk menunaikan umrah dan seterusnya ibadah haji.

Sementara itu, Ismee berkata ketua Muasasah bagi Asia Tenggara untuk Malaysia, Dr Ahmad Yusof memuji cara Malaysia menguruskan jemaah haji yang dianggapnya terkehadapan berbanding banyak negara lain.

"Kami juga berbincang dan Dr Yusof memberi komitmen bahawa keutamaan kerjasama akan diberikan kepada petugas Malaysia," kata Ismee.

Dalam pada itu, Ismee menasihati jemaah haji Malaysia supaya menjaga kesihatan dan meminum air dengan banyak memandangkan cuaca sedang berubah dan agak panas.

Tiada ulasan: