Sabtu, 23 Oktober 2010

Projek besar dipersoal: Pembangkang gila kontrak, Awang Adek

Lim Hong Siang

Meskipun Pakatan Rakyat, pakar ekonomi mahupun media alternatif mempertikaikan kedudukan ekonomi Malaysia dengan beberapa angka yang menggusarkan, termasuk jumlah hutang yang melambak, penurunan pelaburan asing langsung (FDI), indeks persepsi rasuah dan sebagainya, namun UMNO tetap tenang dan bangga dengan prestasi dirinya.

Ianya boleh dilihat apabila Ahli Majlis Tertinggi, merangkap Timbalan Menteri Kewangan, Awang Adek Hussin (gambar kanan) membentangkan usul ekonomi dalam Perhimpunan Agung UMNO ke-61, hari ini. Wakil dari Kelantan ini memetik beberapa pencapaian yang "diiktiraf" untuk menunjukkan kebijaksanaan pemimpin tertinggi UMNO merancang segala yang terbaik untuk rakyatnya.

Negara terbaik

Antaranya, majalah terkemuka Newsweek mengumumkan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-37, dalam senarai 100 buah negara terbaik di dunia pada 23 Ogos 2010. Sementara Jepun (ke-9), Korea Selatan (ke-15) dan Singapura (ke-20) mendahului kita, negara Asia yang lain dikatakan "semuanya di belakang Malaysia", termasuk China (ke-59), Thailand (ke-58), Indonesia (ke-73) dan India (ke-78).

Di kalangan Negara-Negara Islam pula, ranking Malaysia (ke-37) paling tinggi berbanding Kuwait (ke-40), Turki (ke-52), Saudi Arabia (ke-69) dan Iran (ke-79).

Malah, Awang Adek memetik laporan World Competitiveness Yearbook, mendakwa bahawa dayasaing Malaysia telah melonjak daripada tangga ke-18 ke tangga ke-10 pada tahun 2010. "Di kalangan negara-negara yang mempunyai pendapatan perkapita kurang 20 ribu Dollar Amerika, dayasaing Malaysia adalah pada tempat kedua selepas Taiwan."

Tuntut cerai kerana suami tak bawa ke Malaysia?

Untuk meyakinkan perwakilan bahawa Malaysia adalah antara yang terbaik di kalangan negara Islam, Awang Adek menambah dengan satu ceritanya, "Saya dimaklumkan bahawa di Qatar, ada seorang isteri telah menuntut cerai daripada suami, dan sebabnya ialah suaminya masih belum membawa dia melancong ke Malaysia, kerana semua rakan-rakannya, telahpun membawa isterinya datang ke Malaysia."

Awang Adek (gambar kanan) meneruskan dengan beberapa prestasi, misalnya "di kalangan syarikat Fortune 500, Petronas menjadi syarikat yang ke-25 teruntung (profitable) di dunia." Beliau kemudian mengulas bagaimana projek besar seperti Purajaya, Menara Petronas KLCC dan KLIA memacu pertumbuhan ekonomi pada purata hampir 7% setahun, sepanjang 20 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan. Malah, infrastruktur fizikal kelas pertama yang tersebut telah menjadi kebanggaan Malaysia.

Selanjutnya, beliau cuba menjustifikasikan kewujudan projek mega ini dengan alasan bahawa "pelaburan besar-besaran dalam infrastruktur merupakan strategi bijak mempelbagaikan pelaburan, supaya negara kita tidak terlalu bergantung kepada pelaburan asing".

Pembangkang gila kontrak?

Ketika menjawab tuduhan pembangkang bahawa "projek mega untuk kayakan kroni", Awang Adek mempersoalkan, "Anehnya apa yang ditanya oleh pembangkang berulang kali ialah, siapakah yang akan mendapat kontrak-kontrak besar? Seolah-olah mereka ini telah gila kontrak, sejak memerintah beberapa negeri selepas PRU 2008."

"Bagi kita, projek-projek besar adalah perlu, begitu juga projek-projek kecil seperti PIA dan PIAS (Projek Penyelenggaraan Aset Awam), yang telah diumumkan dalam bajet 2011 untuk faedah kontraktor dan usahawan kecil," tambahnya.

Beliau kemudian mengambil kesempatan untuk mengusik pembangkang dengan gelaran "saudagar mimpi", berkata "Pertumbuhan ekonomi yang tinggi adalah benar; kejayaan usaha pembasmian kemiskinan adalah benar; dan pengiktirafan masyrakat antarabangsa terhadap negara kita juga adalah benar. Ini berbeza dengan saudagar mimpi yang hidup dalam khayalan, mengadudomba dengan cerita dongeng tapi tak malu pula berangan-angan untuk ke Putrajaya sehingga kadang-kadang kelihatan mereka bercakap-cakap pada diri sendiri."

Malah, Awang Adek memberi amaran, "Janganlah ada golongan yang mengambil kesempatan daripada politik baru, media baru dan dunia baru, untuk mengetepikan kepentingan golongan majoriti di Bumi bertuah ini. Jangan ada yang terlalu ghairah untuk mendapatkan kuasa politik setelah lama selesa menguasai ekonomi. Kami yakin majoriti Rakyat Malaysia akan terus mengutamakan kesederhanaan dan kestabilan masa panjang, bukannya untuk melepaskan dendam dan memuaskan hati mana-mana individu."

Timbalan Menteri Kewangan ini turut mengingatkan rakan partinya untuk tidak mempersoalkan kuota bumiputera, sedangkan kuota jawatan Menteri dan Timbalan Menteri diagihkan mengikut kuota sedia ada walaupun kerusi komponen parti begitu banyak berkurangan.

"Wahai rakan-rakan, janganlah terlalu memilih: menerima baik kuota politik yang menguntungkan mereka, tapi menolak kuota ekonomi untuk kita," kata Awang Adek.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.

Tiada ulasan: