Isnin, 25 Oktober 2010

PRK Galas: PAS giat berkempen, dapat sokongan istana


galas Oleh Staf FMT

GUA MUSANG: PAS terus giat berkempen dan meningkatkan kemampuan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Galas selepas mengumumkan calonnya Dr Zulkefli Mohamed Khamis lalu.

Sementara Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin baru sahaja mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) semalam, anak tempatan Abdul Aziz Yusoff, bekas penjawat awam berusia 49 tahun.

Di sekitar bandar Gua Musang, PAS mencacak benderanya dan memasang sepanduk dan kain rentang sementara BN masih menunggu arahan dari pengarah pilihan rayanya Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

PAS mengambil inisiatif untuk menjalankan gerak kerja kempen manakala BN baru membuat persiapan setelah calonnya diumumkan di rumah Ku Li di Bukit Cekati di sini.

Masyarakat Cina yang mewakili 25% dan orang asli di Dun Galas menyambut mesra kedatangan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat apabila beliau mengunjungi kawasan itu bersempena dengan hari penamaan calon.

Umno Gua Musang bertelingkah

Sumber-sumber memberitahu, Umno Bahagian Gua Musang sedang bertelingkah sesama sendiri dan ketua pemuda dan wanitanya tidak serasi dengan Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra.

Kesudian Baginda untuk merasmikan skim perladangan masyarakat yang ditadbir urus oleh PAS dengan disambut mesra oleh Nik Aziz sebagai satu petanda bahawa PAS, bukat sahaja mendapat sokongan rakyat tetapi juga dari pihak istana.

Calon BN Abdul Aziz berasal dari Kampung Bertam Baru dekat Paloh dan meletakkan jawatannya sebagai pengurus operasi Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) untuk bertanding.

Dun Galas mempunyai seramai 11,680 pengundi berdaftar. Dari jumlah itu, Melayu seramai 7,125 orang (57%), pengundi Cina 2,317 (25%), Orang Asli 1,889 (15%), lain-lain 27, Bumiputera Sarawak 10 dan pengundi pos 127.

Kerusi Galas menjadi kosong apabila wakilnya Che Hashim Sulaima, 47 meninggal dunia akibat barah usus pada 27 September lalu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias telah mengisytiharkan hari mengundi pada 4 November depan sebagai hari cuti umum.

Kerajaan negeri bersetuju untuk mengisytihar hari Khamis (4 November) sebagai cuti peristiwa bersempena PRK Galas.

Tiada ulasan: