Khamis, 21 Oktober 2010

Penjelasan Shamsul tidak reda asakan blogger


Shamsul 2 Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Penjelasan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin berhubung penyertaan semula beliau untuk merebut jawatan yang sedang disandangnya masih tidak dapat meredakan asakan blogger-blogger popular.

Beberapa Pengendali blog percaya bahawa tindakan Shamsul tersebut bukanlah disebabkan faktor peluang tipis untuk merebut satu tempat dalam Naib Presiden seperti yang didakwanya.

Sebaliknya pengendali-pengendali blog ini mendakwa keputusan ini semata-mata untuk mencatas Badrul Hisham Shaharin.

Blog edyesdotcom.blogspot.com, dalam artikel bertajuk ‘Tolak calon yang tidak teguh pendirian!’ dengan jelas menolak calon yang mengubah pendirian yang dipercayai merujuk kepada Shamsul.

"Adalah menjadi tanggungjawab ahli AMK untuk menolak calon ketua AMK yang tidak teguh dalam berpendirian, apatah lagi jika pemimpin itu gemar berdolak dalik.

"Ini adalah satu sifat yang akan membawa kepada kehancuran parti apabila seorang ketua itu boleh dibeli," ulas pengendali blog tersebut.

Blog penarikbeca.blogspot.com pula dalam artikel bertajuk ‘Kalau nak kata kempen Chegu Bard pun, ikut sukalah’ secara sinis melahirkan pandangan AMK haruslah dipimpin oleh pemimpin yang bebas dari tajaan mana-mana pihak.

"Saya yakin Angkatan Muda Keadilan (AMK) sepatutnya dipimpin oleh orang yang tidak menjadi pak yet Anwar, jauh lagi menjadi pak yet Azmin atau tak henti-henti menerima wang belanja dari Azmin," tulis beliau dalam blognya.

Blogger terbabit turut mempersoalkan zaman kesuraman AMK pimpinan Shamsul apabila hanya kira-kira 50 cabang AMK sahaja yang berjaya membuat pencalonan lengkap.

Ke mana generasi reformasi?

Manakala Mat Saman Kati menulis di ureka.asia pula mengulas dengan nada yang hampir serupa dalam artikel bertajuk ‘Kemana hilangnya Generasi Reformasi?’

"Sam (Shamsul) juga sedar, kalau dia lawan Chegu Bard, peluang dia tipis. Tapi kalau dia lawan Anwar dan Azmin…lagi teruk.

"Dan oleh kerana Sam juga seorang Anwaristas yang wala’ kepada Anwar, maka dia menurut kehendak Azmin. Aku sebut Azmin sebab dalam PKR, Anwar yang dengar cakap Azmin…bukan Azmin yang dengar cakap Anwar," tulis blogger itu lagi.

Selain itu, Shamsul juga dikritik hebat gara-gara kegagalan beliau membawa AMK ke aras yang sepatutnya ketika mengetuai AMK lebih dari sepenggal semenjak memangku ketua AMK.

Blogger pro Umno, umno-reform2.com turut memberikan komennya dalam perebutan jawatan Ketua AMK apabila mendakwa Azmin Ali sebagai pencatur utama terhadap keputusan Shamsul.

"Rafizi yang mencabar tempat untuk menjadi orang nombor satu dalam AMK kini menarik diri. Semua kumpulan mereka menarik diri dan dijangka akan memberi sokongan kepada Shamsul Iskandar.

"Semua dikatakan percaturan Azmin Ali," demikian komen penulis blog itu yang merupakan Ketua Eksekutif Institut Kajian Asas Kemasyarakatan.

Apa pun reaksi Shamsul nanti, sekurang-kurangnya komen ringkas Shamsul di catatan dinding face book Azmin Ali telah pun memberikan seribu satu tafsiran.

"Salam YB, jangan lupa tolong bantu kempen saya, ketua AMK di Sabah," komen Shamsul berhubung kenyataan Azmin tentang lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini.

Tiada ulasan: