Khamis, 28 Oktober 2010

Pemuda PAS mahu Jakim jadi kementerian

Rusli Yasmin

PUTRAJAYA: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menghantar memorandum kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantah program-program mungkar yang telah berlaku di dalam negara.

Pemangku Ketua DPPWP, Herman Samsudin yang mengetuai delegasi tersebut mencadangkan agar Jakim diangkat menjadi sebuah kementerian agar boleh membuat penguatkuasaan bagi mengawal program-program itu.

Memorandum diterima oleh Pegawai Perhubungan Jakim, Puan Asiah Al-Kharib Shah di luar pejabat Ketua Pengarah Jakim, di sini.

Menurut Herman, Jakim dilihat tidak mempunyai kuasa bagi menghentikan sebarang program yang menyalahi etika Islam dan budaya timur di dalam masyarakat.

"Kita jumpa PUSPAL (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) dia bagi tahu Jakim antara yang terlibat dalam jawatankuasa meluluskan konsert Adam Lambert baru-baru ini antaranya ialah Jakim," kata Herman.

Malangnya, kata beliau program-program mungkar tetap berjalan tanpa ada pemantauan dari pihak yang berwajib seperti Jakim.

Ditanya mengenai pelan kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub hiburan, Herman bersetuju tetapi hiburan itu mestilah sesuai.

DPPWP memuji sekiranya artis seperti Maher Zain ditonjolkan dan dijadikan ikon anak muda dalam membudayakan imej yang positif.

Herman berharap program Festival Fesyen Muslim (IFF) yang bakal diadakan di Malaysia pada awal November ini betul-betul bertepatan dengan ciri-ciri Islam.

Di dalam memorandum yang dihantar, DPPWP mahu Jakim mengambil peranan secara bersungguh-sungguh serta melibatkan secara langsung sebagai penasihat syariah terhadap mana-mana program rasmi yang dianjurkan di dalam negara.

DPPWP juga berharap Jakim dapat mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana program yang berlaku dalam negara.

Dua program mungkar iaitu Konsert Adam Lambert dan Islamic Fashion Festival (IFF) di Monte Carlo menunjukkan program-program itu tidak dipantau oleh pihak sepatutnya.

Turut menyertai rombongan tersebut, Naib Ketua DPPWP, Suhaimi Abd Aziz, setiausaha, Kamarul Arif Ambak, Wakil Ulamak Pelapis, Ustaz Adha Buyong dan Exco DPPWP, Asrul Afendi.

Tiada ulasan: