Selasa, 5 Oktober 2010

Isteri hantar memorandum minta polis segerakan siasatan kehilangan ahli perniagaan

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Isteri seorang ahli perniagaan dari Banting, S.Anpalagan 43, hari ini menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi meminta polis menyegerakan siasatan kes kehilangan suaminya sejak setahun lepas.

S.Jayanthy, 34, tiba di perkarangan Bukit Aman bersama anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam, kira-kira 11 pagi ini dan menyerahkan memorandum itu kepada Pegawai Perhubungan Awam Bukit Aman Cif Inspektor Mohd Zaki Abu Bakar.

Jayanthy juga menuntut diberikan maklumat terbaru perkembangan kes itu setelah dua kali membuat laporan polis.

“Sehingga hari ini, tiada apa (maklumat). Kami semua sangat rindukannya dan berharap polis dapat membantu menyegerakan siasatan dan mencarinya,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Sebelum ini, Jayanthy membuat laporan polis di Balai Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 4 Ogos 2009 apabila suaminya tidak pulang ke rumah setelah menemui seorang rakannya di Bukit Sentosa, Rawang, sehari sebelum beliau hilang.

Beliau membuat laporan kedua pada 25 Feb lepas di Balai Polis Kuala Kubu Baharu berhubung kehilangan suaminya itu, selain mengadu ada pihak yang tidak dikenali, sentiasa mengekorinya.

Lebih merisaukan Jayanthy ialah kehilangan suaminya itu dikaitkan dengan kemungkinan menjadi mangsa suspek kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan beberapa individu lain.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata polis telah meminta wanita itu hadir di mana-mana balai polis bagi membolehkan pihak berkuasa merakamkan percakapan dan mendapatkan maklumat lanjut bagi merungkai misteri kehilangan suaminya.

Tiada ulasan: