Sabtu, 23 Oktober 2010

Inkues Teoh: Penulis 'nota terakhir' masih misteri

Aidila Razak

Identiti penulis yang didakwa menulis 'nota terakhir' yang dijumpai di beg sandang Teoh Beng Hock masih menjadi misteri.

Mahkamah Koroner Shah Alam bagi menentukan inkues kematian Teoh dimaklumkan hari ini bahawa tulisan pada nota misteri berkenaan - yang ditulis bercampur-campur dalam bahasa Cina dan Melayu - adalah tulisan yang sama yang dijumpai di buku catatan yang dijumpai di beg Teoh.

Bagaimanapun, penganalisis dokumen daripada Jabatan Kimia Malaysia, Wong Kong Yong, berkata beliau tidak dapat memberikan kepastian sama ada tulisan dalam bahasa Cina itu menyerupai contoh tulisan yang dijumpai di buku catatan berkenaan.

Menurut beliau, dia hanya boleh mengatakan bahawa nota itu “besar kemungkinan ditulis oleh orang yang sama”.

Berikutan perkembangan itu, koroner Azmil Muntapha Abas berkata perkara berkenaan masih belum merungkai misteri berhubung penulis nota tersebut.

Wong, yang mengkaji tulisan yang didakwa ditulis oleh Teoh sebagai 'wasiat terakhirnya' itu berkata kebanyakan sampel tulisan yang ditemui dalam beg sandang Teoh ketika disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Julai 2009.

Ditulis orang yang sama

Mengulas lanjut bagi penjelasan yang diminta peguam Tan Hock Chuan, yang membantu Koroner Azmil Muntapha Abas dalam inkues itu, Wong berkata huruf awal pada nota dan huruf awal pada keterangan saksi yang direkodkan oleh pegawai SPRM sehari sebelum Teoh dijumpai mati, ia kemungkinan besar ditulis oleh orang yang sama.

Wong juga berkata beliau menerima set spesimen yang pertama dari pegawai penyiasat ASP Ahmad Nazri Zainal pada 9 Oktober 2009 dan spesimen berikutnya pada 20 Oktober.

Katanya, kenyataan 10 helai SPRM juga digunakan sebagai sampel untuk analisis tulisan berkenaan.

“Tulisan (Melayu) pada nota itu hampir sama dengan huruf tulisan BM.

“Tulisan ini ditulis oleh orang yang sama,” kata Wong ketika memberikan penerangannya.

Tetapi Wong tidak boleh berkata perkara yang sama berhubung tulisan Cina. Dia hanya membuat kesimpulan, “kemungkinan besar” ia ditulis oleh orang yang sama.

Kekurangan ciri tulisan Cina

Wong memberi keterangan pada inkues mengenai kematian Teoh, 30, setiausaha politik kepada seorang anggota exco kerajaan negeri Selangor yang mayatnya ditemui di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai tahun lalu, sehari selepas dia memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Menjawab soalan lain, Wong berkata terdapat kekurangan ciri tulisan Cina untuk perbandingan antara tulisan Cina Teoh pada baucer tunai yang diserahkan kepadanya oleh pegawai penyiasat, dan tulisan Cina yang ditemui pada nota.

Nota itu yang ditulis oleh Teoh adalah tumpuan utama dalam inkues berkenaan.

Peguam yang mewakili keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, dan peguam yang mewakili kerajaan negeri Selangor, Malik Imtiaz Sarwar, mempersoalkan bagaimana nota itu boleh ditemui dan mengapa ia lewat didedahkan dalam inkues itu.

Selepas penjelasan panjang lebar oleh pegawai penyiasat kes itu pada 14 Oktober, nota itu diterima oleh Azmil Muntapha sebagai eksibit.

Ujian saintifik

Ditanya oleh Gobind, sama ada beliau menjalankan pemeriksaan DNA terhadap spesimen untuk kesan cap jari atau tapak tangan sebelum membuat keputusan muktamad, Wong berkata beliau hanya menjalankan perbandingan tulisan tangan seperti yang diminta oleh pegawai penyiasat.

Wong juga bersetuju dengan Gobind bahawa beliau tidak mencadangkan kepada pegawai penyiasat untuk ujian saintifik itu untuk memastikan keputusannya adalah lebih tepat.

Berhubung pandangan Gobind bahawa terdapat beberapa ciri perbezaan dalam penemuan beliau antara huruf awal Teoh yang terdapat dalam nota dan huruf awal dalam keterangan saksi, Wong mengulangi bahawa terdapat lapan persamaan antara kedua-duanya berbanding hanya satu perbezaan.

"Sebab itulah dalam laporan, saya menyatakan kemungkinan besar ia ditulis oleh orang yang sama," kata Wong.

Saksi itu bersetuju dengan peguam Malek bahawa cap jari boleh kelihatan di atas nota, begitu juga tanda inden.

Azmil Muntapha meminta penjelasan lanjut dari Ketua Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa selepas beliau memberitahu inkues bahawa koroner seharusnya membenarkan permohonannya untuk memanggil tiga lagi saksi sebelum inkues itu berakhir.

Azmil Muntapha (kanan) berkata beliau telahpun membaca keterangan saksi dan ia tidak berapa relevan dengan inkues itu.

Abdul Razak berkata terdapat maklumat yang ditemui dalam komputer riba Teoh yang beliau percaya mempunyai kaitan dengan nota tersebut dan tiga kontraktor telah menafikan yang mereka menyediakan invois itu.

Azmil Muntapha menetapkan 4 Nov untuk pegawai penyiasat memberi keterangan lanjut sebelum membuat keputusan sama ada membenarkan permohonan Abdul Razak.

Tiada ulasan: